
ALEF Aeronautics mencipta sejarah apabila berjaya menerbangkan model kereta terbang pertama mereka, Alef Model A, di sebuah bandar yang terletak di Amerika Syarikat pada Rabu.
Penerbangan sulung itu menjadi detik bersejarah kerana kereta terbang tersebut bukan sahaja berlepas secara menegak tetapi juga melayang di atas sebuah kenderaan lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Alef Aeronautics, Jim Dukhovny berkongsi video penerbangan bersejarah itu di LinkedIn dan menyatakan bahawa itu merupakan penerbangan pertama bagi sebuah kereta sebenar dengan keupayaan berlepas menegak secara bebas tanpa sebarang tali pengikat.
Alef Aeronautics показала видео полётного теста летающего электромобиля Alef Model A: https://t.co/BDKJ1TxysCМашина будет способна преодолевать по дороге 350 км без подзарядки, а в режиме полёта — до 176 км. pic.twitter.com/HKNM1cr6Lr
— Хабр (@habr_com) February 20, 2025
Dukhovny berkata, ramai yang mempersoalkan sebab syarikatnya itu tidak menyiarkan rakaman penerbangan lebih awal.
Menurutnya, sebagai sebuah syarikat pemula (startup), Alef Aeronautics perlu melindungi hak intelek mereka dan memastikan aspek keselamatan sebelum mendedahkan sepenuhnya keupayaan teknologi mereka kepada umum.
"Kami amat menitikberatkan keselamatan dan mahu memastikan kenderaan ini selamat sebelum ia didedahkan kepada pengguna," katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk berkongsi lebih banyak maklumat mengenai ujian penerbangan dan hala tuju syarikat kepada sesiapa yang berminat.
Alef Model A direka untuk berfungsi seperti kenderaan biasa di darat dengan membolehkan pemiliknya meletak kereta di ruang parkir dan memandu di jalan raya seperti kenderaan konvensional.
Model itu mempunyai jarak pemanduan sejauh 200 batu dan jarak penerbangan sejauh 110 batu.
Bagi memastikan kestabilan ketika di udara, kereta itu dilengkapi dengan kabin bergimbal dan sistem elevon untuk mengawal pergerakan menegak, mendatar serta kecondongan kenderaan.
Demi faktor keselamatan, pasukan jurutera memilih untuk tidak menggunakan baling-baling terbuka dalam reka bentuknya.
Setiap komponen utama pada kenderaan itu dilengkapi dengan sistem pendua antara tiga hingga lapan kali ganda.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem pengesanan dan pengelakan halangan, pendaratan gelongsor serta payung terjun balistik sebagai langkah keselamatan tambahan.
Sudah Mendapa Kebenaran FAA, 100 Peratus Elektrik dan Menjimatkan Tenaga
Alef Model A adalah 100 peratus kenderaan elektrik dan dikatakan menggunakan tenaga yang lebih rendah bagi setiap perjalanan berbanding kenderaan elektrik Tesla atau teksi udara eVTOL.
Kejayaan ujian penerbangan itu menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Alef Aeronautics, yang telah menerima Sijil Kelayakan Udara Khas daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), menjadikannya kenderaan pertama dengan keupayaan berlepas menegak yang mendapat kebenaran untuk terbang di Amerika Syarikat.
Setakat ini, Alef Aeronautics telah menerima 3,300 tempahan awal untuk Model A, dengan penghantaran dijangka bermula penghujung tahun ini.
Selepas kejayaan Model A, Alef Aeronautics sedang merancang pembangunan Model Z, sebuah sedan terbang yang mampu membawa empat orang penumpang.
Dijadualkan diperkenalkan pada tahun 2035, Model Z dijangka mempunyai jarak penerbangan sejauh 200 batu dan jarak pemanduan sejauh 400 batu.
Versi itu turut dirancang untuk memiliki keupayaan penerbangan autonomi yang menjadikannya lebih canggih berbanding pendahulunya.
Buat masa ini, Alef Aeronautics masih dalam fasa ujian lanjut termasuk simulasi perisian dan analisis sebelum memulakan pengeluaran secara besar-besaran.
Kejayaan itu membuka lembaran baharu dalam industri kenderaan udara peribadi dan berpotensi mengubah cara manusia bergerak di masa hadapan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram