[VIDEO] Muka staf Everton terkena suar dalam aksi derbi menentang Liverpool


  • Podium
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Tangkap layar video petugas keselamatan Everton terkena suar piroteknik.

SEORANG petugas keselamatan Everton terkena suar piroteknik di muka sebelum perlawanan derbi Merseyside terakhir di Goodison Park pada awal pagi Khamis (13 Februari).

Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan suar yang masih menyala terkena bahagian bawah mata kirinya, meninggalkan tanda biru.

Petugas itu tidak kehilangan keseimbangan atau mengalami kecederaan serius dan cukup sihat untuk meneruskan tugasnya selepas diperiksa.

BACA LAGI: [VIDEO] Hargai fans JDT lepas game, tak hairan kalau Bergson mampu menangi hati ekor Harimau Malaya

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya jalan ‘terhincut-hincut’ Roque Mesa mungkin berpeluang jumpa Pohang Steelers

Polis Merseyside berkata, petugas itu berasa terkejut dan pihak berkuasa akan terus menyokong Everton untuk membasmi penggunaan suar secara melulu dan berbahaya.

Suar itu dibaling ketika bas pasukan tiba di pintu masuk pemain di luar Goodison Park buat kali terakhir sebelum Everton berpindah ke stadium baharu mereka di Bramley-Moore Dock.

Everton secara lantang mengecam penggunaan suar dan peranti piroteknik seumpamanya di perlawanan.

Kelab itu menyatakan bahawa peranti tersebut boleh terbakar pada suhu tinggi dan menyebabkan penyokong melecur serta mengalami kesukaran bernafas.

Kelab itu juga memberi amaran bahawa individu yang dikenal pasti membaling suar atau memiliki peranti tersebut di dalam stadium boleh berdepan tindakan undang-undang dan larangan menghadiri perlawanan.

Everton turut mengeluarkan kenyataan bersama dengan Liverpool FC dan Polis Merseyside bagi mengecam gangguan bersifat perkauman terhadap pemain tengah Everton, Abdoulaye Doucoure, selepas perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Kenyataan itu berbunyi: "Kedua-dua kelab secara bersama-sama akan bekerjasama dengan Polis Merseyside, yang sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu tidak bertanggungjawab.

"Kami juga menggalakkan orang ramai yang menyaksikan atau mengalami gangguan dalam talian untuk melaporkan dan menyebarkan kepada platform media sosial terlibat."

Kedua-dua kelab turut menggesa platform media sosial untuk bertanggungjawab terhadap salah laku yang dilakukan oleh pengguna mereka.

Perlawanan derbi itu berakhir dengan drama apabila pemain pertahanan Everton, James Tarkowski, menjaringkan gol penyamaan di saat-saat akhir.

Pemain Liverpool, Curtis Jones, kemudian dilayangkan kad merah selepas bertembung dengan Doucoure, yang turut dibuang padang.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, dan pembantunya, Spike Hulshoff, juga menerima kad merah selepas wisel penamat kerana tidak berpuas hati dengan prestasi pengadil, Michael Oliver. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram