
MENJELANG perlawanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT), Ketua Jurulatih Central Coast Mariners (CCM), Mark Jackson menjangkakan tugas sukar untuk pasukannya dalam menghadapi aksi ketujuh saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) yang akan berlangsung pada Selasa.
Selepas enam perlawanan ACLE, CCM tersingkir daripada kejohanan dengan dua perlawanan masih berbaki, selepas tewas lima kali dan hanya seri sekali.
Salah satu kekalahan mengejut mereka adalah 1-2 di tangan Buriram United pada 1 Oktober 2024.
BACA LAGI: Peluang 50-50 kembali beraksi, katanya misteri kehilangan Hong Wan angkara kecederaan luar padang
BACA LAGI: Beraksi lebih baik, Nelson San Martin janji terus bantu skuad muda Sang Kenari
Skuad Harimau Selatan akan bertemu Central Coast Mariners bagi aksi ketujuh saingan ACLE.
Kini, CCM akan berdepan satu lagi pasukan jaguh Asia Tenggara, JDT.
Jackson mengakui bahawa skuad kendalian Hector Bidoglio itu adalah lawan yang sukar bukan sahaja kerana dominasi mereka dalam Liga Super, tetapi juga kerana pasukan itu memiliki ramai pemain berkualiti dan berpengalaman di peringkat antarabangsa.
“Kita menjangkakan perlawanan yang sukar. JDT mendominasi Liga Super dan mempunyai ramai pemain berkaliber tinggi.
"Mereka sudah biasa memenangi perlawanan dan menjaringkan gol,” kata Jackson dalam sidang media pra-perlawanan.
Walaupun begitu, Jackson yakin pasukannya telah membuat persiapan yang baik.
“Kami baru pulang dari Perth dan pemain-pemain sudah menjalani pemulihan yang bagus. Kami tahu Johor akan ada kelebihan, tetapi kami juga mempunyai kelebihan sendiri. Kami tak sabar untuk menghadapi perlawanan ini," tambahnya.
Pada masa sama, CCM turut menghela nafas lega apabila pemain sayap, Miguel Di Pizio kembali pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan telah beraksi dalam perlawanan menentang Perth Glory baru-baru ini.
Perlawanan CCM menentang Harimau Selatan akan berlangsung di Stadium Central Coast, Gosport, Australia tepat pukul 4 petang waktu Malaysia pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram