
JURULATIH perseorangan wanita, Jeffer Rosobin dijangka akan memanfaatkan pengalaman untuk membantu pemain-pemain negara meraih mata penting di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 (BAMTC) yang bakal berlangsung di Qingdao, China dari 11 hingga 16 Februari ini.
Pemain-pemain perseorangan wanita Malaysia dilabel sebagai salah satu kelemahan skuad badminton tanah air, namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetap memberi kepercayaan kepada Wong Ling Ching dan K. Letshanaa untuk mengetuai cabaran tersebut.
Pasukan wanita Malaysia akan berdepan dengan lawan yang cukup mencabar dalam Kumpulan B, termasuk Indonesia, Hong Kong, dan Kazakhstan.
BACA LAGI: [VIDEO] Sedih dibuang BAM, pemain badminton negara 'move on' mahu fokus belajar
BACA LAGI: Bukan setakat Asia, Eropah kini semakin ramai bintang badminton
Indonesia, yang terkenal dengan kekuatan mereka akan menampilkan pemain nombor 15 dunia iaitu Putri Kusuma Wardani serta finalis Thailand Masters, Komang Ayu Cahaya.
Bagaimanapun, Jeffer membawa kelebihan tersendiri berhadapan dengan Indonesia, kerana dia pernah menjadi jurulatih perseorangan wanita di Indonesia pada tahun 2017.
Pengalaman tersebut memberi Jeffer sedikit pandangan dan strategi yang boleh diterapkan dalam merancang perlawanan terbaik.
Jurulatih perseorangan wanita, Jeffer Rosobin.
“Mungkin pengalaman lalu memberikan saya sedikit pandangan tentang strategi yang berkesan untuk pemain A atau B. Namun, akhirnya, saya berharap strategi ini dapat diterima dan difahami oleh pemain-pemain,” kata Jeffer mengenai perancangannya.
"Apa yang jelas adalah kami sedang bersedia dengan cara terbaik untuk prestasi terbaik," katanya yang baru empat bulan dilantik sebagai jurulatih selepas dinaikkan pangkat dari mengendalikan skuad junior kebangsaan pada Oktober tahun lalu.
Hong Kong pula dilihat sebagai lawan yang setara dengan Malaysia, dengan Saloni Samir Mehta (peringkat ke-101 dunia) dan Yeung Sum Yee (peringkat ke-193 dunia) bakal memperkuatkan pasukan mereka.
Sementara itu, Kazakhstan yang hanya menurunkan empat pemain wanita, termasuk Diana Namenova, Nargiza Rakhmetullayeva, Kamila Smagulova, dan Aisha Zuhmabek, turut dijangka menjadi pencabar hebat dalam acara perseorangan dan beregu wanita.
Ling Ching juga merupakan salah satu pemain harapan BAM untuk perseorangan wanita negara.
Walaupun dikatakan sebagai antara elemen yang paling lemah dalam pasukan kebangsaan, pemain-pemain wanita Malaysia masih mempunyai peluang untuk menyumbang mata berharga, sekali gus menafikan persepsi negatif yang sering dilontarkan.
Menurut Jeffer, "Pada masa ini, pemain kami sudah mencapai tahap optimum. Apa yang tinggal adalah fokus untuk meningkatkan teknik, keadaan fizikal dan pemikiran mereka, dan kami berharap mereka dapat tampil dengan lebih baik lagi."
Selain Letshanaa dan Li Ching, pasukan Malaysia turut disertai oleh Leong Jun Hao dan Justin Hoh (perseorangan lelaki); Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King (beregu lelaki); Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, Cheng Su Hui-Tan Zhing Yi (beregu wanita); serta Goh Soon Huat-Shevon Jamie Lai, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram