
MISTERI penemuan mayat gadis dalam bagasi merah akhirnya terjawab selepas suspek pembunuhan mendedahkan bahawa punca jenayah itu dilakukan adalah bermotifkan rasa cemburu.
Suspek, Rohmad Tri Hartanto yang hadir pada sidang media di Polda Jawa Timur, Indonesia pada Isnin mengakui bahawa tindakannya didorong oleh rasa cemburu dan sakit hati selepas melihat mangsa, Uswatun Khasanah bersama lelaki lain di sebuah rumah sewa di Kediri, Jawa Timur, Indonesia pada 19 Januari lepas.
Tertuduh berusia 33 tahun itu ketika disiasat juga sempat melemparkan senyuman yang seakan-akan menandakan sama sekali tidak berasa bersalah melakukan jenayah itu.
BACA LAGI: [VIDEO] E-Sukan VR pertama di Malaysia, rasai pengalaman futuristik di EVA Sungai Long
Menurut pihak polis, hubungan antara Rohmad dan Uswatun sudah bermula sejak tiga tahun lepas, namun tidak ada bukti sah mengenai status mereka sebagai pasangan kekasih atau suami isteri.
Rohmad yang juga seorang guru silat mendakwa bahawa dia sering memberikan wang kepada Uswatun selepas diminta olehnya.
Pada 19 Januari lepas, Rohmad dilaporkan telah menyediakan wang sebanyak RM1 juta untuk diberikan kepada Uswatun, namun mangsa menolak dan turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anak perempuan suspek.
Polis berkata, Uswatun Khasanah yang berusia 29 tahun, didakwa pernah mendoakan anak perempuan suspek supaya menjadi pelacur yang menyebabkan Rohmad berasa sangat tersinggung.
Tragedi itu berakhir dengan Uswatun ditemui mati dalam keadaan tragis, tanpa kepala dan kaki di dalam bagasi pakaian di Ngawi, Jawa Timur pada Khamis lepas.
Uswatun dijumpai oleh penduduk tempatan di dalam parit berhampiran tempat pembuangan sampah.
Bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat mangsa mengesahkan bahawa dia telah dibunuh dengan kejam.
Pihak polis juga mendedahkan bahawa Rohmad mempunyai isteri sah dan dua anak, dengan kehidupan rumah tangga mereka dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Meskipun Rohmad mengaku bahawa dia adalah 'suami' mangsa yang dirahsiakan, siasatan mendapati dakwaan tersebut tidak dapat dibuktikan.
Tidak terdapat sebarang dokumen atau bukti yang menyokong bahawa mereka berkahwin secara rahsia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram