KETIADAAN pencabar lain memastikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menjadi calon terbaik memimpin badan induk itu untuk penggal akan datang.
Mohd Joehari dijangka hanya menunggu masa diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden FAM selepas menjadi calon tunggal yang layak untuk menggantikan tempat Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Beliau yang sedang menghitung hari menunggu kongres pemilihan badan induk berkenaan pada 15 Februari depan memberitahu bahawa akan mengikuti legasi Hamidin dalam menambah baik industri bola sepak tanah air.
BACA LAGI: Keazaman TMJ mudahkan saya sertai Harimau Malaya — Peter
BACA LAGI: Wajah baharu Kongres FAM: Zainal Abidin fokus ‘ubi muda’, Dollah Salleh mahu balas kepercayaan
“Memang kita follow dengan apa yang Tan Sri (Hamidin) buat selama ini. Jadi, tidak ada benda-benda baharu, cuma mungkin kita akan membuat lebih baik untuk baiki segala aspek dalam bola sepak Malaysia. Nasihat itu sentiasa dari Tan Sri sebab kita selama ini memang kerjasama.
“Kita belajar daripada Tan Sri selama ini, selama tujuh hingga lapan tahun. Memang banyak belajar daripada Tan Sri dan nasihat itu sentiasa diberi. Mungkin selepas ini pun akan minta pandangan daripadanya,” katanya.
Seiring dengan penambahbaikan yang mahu dilakukan Mohd Joehari, beliau juga teruja dengan perkara baharu bakal dilaksanakan dalam projek revolusi Harimau Malaya.
Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub (depan).
Mohd Joehari ditemui pada majlis menandatangani perjanjian di antara FAM dan Puma Malaysia pada Khamis di Petaling Jaya, Selangor.
Acara berkenaan turut dihadiri Hamidin, jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski dan Pengarah Urusan Puma Asia Tenggara & Oceania, Sanjay Roy.
Dalam pada itu, jersi rasmi 'home' dan 'away' Harimau Malaya direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan iaitu kuning dan hitam. Jersi tersebut kini boleh dibeli di kedai Puma terpilih di seluruh negara pada harga RM319.
Pengenalan jersi tersebut juga bermakna FAM telah memeterai kerjasama empat tahun dengan Puma yang akan menjadi rakan pakaian rasmi Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram