Debaran memuncak, PSM Makassar kelab pertama muncul semifinalis Piala Shopee jika malukan TFC


  • Podium
  • Rabu, 22 Jan 2025

Sebahagian sesi latihan akhir PSM Makassar menjelang aksi berdepan Terengganu FC dalam saingan Piala Shopee pada Rabu. — Facebook/PSM Makassar

PSM Makassar dijangka tampil sebagai kelab pertama melayakkan diri ke separuh akhir Piala Shopee 2024 pada Rabu apabila skuad Bernardo Tavares berkunjung ke Malaysia untuk bertemu Terengganu FC dalam saingan Kumpulan A.

Kemenangan untuk pasukan Indonesia itu akan memaksa dua kelab - Dong A Thanh Hoa FC dari Vietnam dan BG Pathum United FC dari Thailand – memburu mata penuh dalam perlawanan masing-masing untuk menafikan kemaraan PSM ke empat slot terakhir.

PSM mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan setakat ini, membolehkan anak buah Tavares mendahului dua mata mengatasi Dong A Thanh Hoa dan BG Pathum United, dengan baki dua perlawanan peringkat kumpulan.

BACA LAGI: TFC pertaruh barisan terkuat hadapi PSM Makassar, Safawi-Azam Azmi disebut jadi sandaran utama

BACA LAGI: 'Sikit lagi kena pecat', Kim Swee lakar kemenangan sulung lepas 8 perlawanan

WhatsApp Image 2025-01-22 at 10.48.37

Para pemain PSM Makassar dilihat sudah cukup bersedia untuk membawa pulang tiga mata penuh di Gong Badak. — Facebook/PSM Makassar

Dong A Thanh Hoa berdepan cabaran getir apabila menentang Svay Rieng FC dari Kemboja yang berusaha menyalakan harapan untuk mara biarpun berada di tempat keempat dengan tiga mata. Kemenangan akan menghidupkan semula peluang Pep Munoz dan pasukannya meraih kedudukan dua teratas.

BG Pathum United pula bertandang ke Yangon untuk menentang Shan United yang masih mencari mata pertama dalam saingan kumpulan selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut.

Cong An Ha Noi FC dari Vietnam juga boleh menjamin kemaraan dari Kumpulan B pada Khamis dengan pasukan bimbingan Mano Polking mendahului pencabar terdekat dengan tiga mata dengan baki dua perlawanan.

Pendahulu Kumpulan B itu akan berkunjung ke Malaysia bertemu Kuala Lumpur City FC yang cuba bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Lion City Sailors FC pada Perlawanan Ketiga.

Kemenangan untuk Cong An Ha Noi akan membolehkan kelab itu ke separuh akhir manakala kemenangan untuk Kuala Lumpur City mencerahkan laluannya untuk mara dengan baki satu pusingan perlawanan.

Juara Liga 1 Thailand, Buriram United FC berdepan Lion City Sailors dengan kelab dari Singapura itu berharap untuk meneruskan rentak selepas mencatat kemenangan pertama menentang Kuala Lumpur City dua minggu lalu.

Buriram United kini menghuni tempat kedua kedudukan dengan enam mata, di depan Kuala Lumpur City dengan perbezaan gol.

Borneo FC Samarinda berada di tempat keempat dengan tiga mata, berkongsi dengan kedudukan Lion City Sailors yang mendahului wakil Indonesia itu yang akan bertemu dengan pasukan tangga tercorot Kaya FC-Iloilo dari Filipina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram