PEMAIN pinjaman Selangor FC, Muhammad Abu Khalil terus mendapat kepercayaan kelab baharunya, Nakhon Pathom United meskipun baru menyertai The King Tigers baru-baru ini.
Muhammad masuk sebagai pemain gantian pada babak separuh masa kedua ketika menentang Bangkok United untuk menggantikan Sunchai Chaolakhwan.
Pemain berusia 20 tahun itu beraksi selama 45 minit dan berjaya membantu Nakhon Pathom mendapatkan satu mata berharga di tempat lawan.
BACA LAGI: Bukan lagi ejen bebas, ex import acah 'scam' Selangor FC kini sertai kelab Eropah
Berpeluang beraksi sebanyak 45 minit, sebagai pemain muda meningkat naik ia sangat bagus untuk perkembangan Muhammad yang sebelum ini beraksi di kelab J3 League, FC Osaka.
Kemasukan Muhammad pada separuh masa kedua membantu Nakhon Pathom United mengikat Bangkok United dengan 1-1 sekali gus dapat meperbaiki kedudukan pasukan.
Untuk rekod, bukan sahaja Muhammad yang dapat melakukan debut di Thai League 1 (liga utama Thailand), ada lapan pemain Malaysia juga mencipta minit permainan bersama kelab negara jiran.
Majoriti senaraikan minit aksi sulung lapan pemain Malaysia dalam Thai League 1:
1. Muhammad Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima)
Antara pemain awal yang beraksi di Thai League 1, Muhammad Shahrel Fikri merekodkan minit permainan sebanyak 90 minit dalam aksi debutnya bersama Nakhonratchasima Mazda pada 30 Jun 2018.
Baru menyertai Nakhonratchasima daripada PKNP FC, Shahrel terus diberikan kepercayaan untuk beraksi menentang Sukhothai FC sebelum dikeluarkan pada minit ke-90 dan digantikan dengan Jakkit Niyomsuk.
Bersama Nakhonratchasima, Shahrel hanya merekodkan dua jaringan gol sebelum kembali ke PKNP FC pada 30 November 2018.
2. Curran Singh Ferns (Sukhothai)
Pemain warisan Australia-Malaysia, Curran Singh Ferns menyertai Thai League 1 bersama-sama Shahrel Fikir dengan dia menyertai Sukhothai FC pada 11 Jun 2018.
Bekas pemain Felda United itu melakukan debut dalam aksi Thai League Cup menentang Port FC sebagai bintang utama pasukan.
Dalam perlawanan itu, Curran beraksi selama 90 minit namun gagal membantu rakan sepasukan lain untuk meraih kemenangan apabila Sukhotai tewas dengan keputusan 3-4 pada 13 Jun 2018.
Bersama Sukhotai, Curran hanya tampil dalam 14 perlawanan tanpa sebarang jaringan dan assist sebelum membuat keputusan untuk menggantung but pada 2021.
3. Dominic Tan Jun Jin (Police Tero)
Kapten Sabah FC, Dominic Tan pernah beraksi di Thai League 1 bersama Police Tero selama dua tahun sejak 2019.
Dominic menyertai Police Tero semasa kelab itu beraksi di Thai League 2 (divisyen kedua Thailand) sebelum bek tengah Harimau Malaya itu membantu mereka meraih tempat kedua liga.
Bekas bintang JDT II itu melakukan debut dalam Thai League 1 dengan menentang kelab gergasi Thailand, Buriram United sebagai pemain gantian dan sempat beraksi selama 15 minit pada 16 Februari 2020.
Penampilan sulung Dominic dalam Thai League 1 itu berjaya membantu Police Tero mendapatkan tiga mata penuh dan kekal tanpa bolos.
Bersama Police Tero, Dominic tampil dalam 22 perlawanan dalam Liga Thailand dan mengutip dua kad kuning sebagai pertahanan tengah pasukan.
4. Mohamadou Sumareh (Police Tero)
Perpindahan pemain naturalisasi kebangsaan, Mohamadou Sumareh ke Police Tero dipenuhi pelbagai kontroversi apabila peminat bola sepak tempatan mendakwa ia merupakan transit buat bekas bintang Sri Pahang sebelum ke Johor Darul Ta'zim (JDT).
Pernah menjadi rakan sepasukan Dominic di Police Tero, Sumareh hanya mencatatkan 114 minit permainan bersama kelab Thailand itu.
Penampilan sulung Sumareh bersama Police Tero berakhir dengan kekalahan apabila dia masuk sebagai pemain gantian ketika ditewaskan oleh Suphanbhuri FC 0-5 pada 30 Oktober 2020.
Pemain berusia 31 tahun itu hanya beraksi selama 18 minit dalam aksi debutnya bersama Police Tero dan merekodkan empat penampilan sepanjang empat bulan di Thailand.
5. Junior Putera Eldstal (Chonburi)
Bek tengah JDT, Junior Eldstal pernah memainkan peranan penting buat kelab Thailand, Chonburi FC apabila merekodkan 36 penampilan bersama The Sharks.
Sebelum mencapai tahap pemain penting, Eldstal hanya melakukan aksi debut selama tiga minit ketika Chonburi menewaskan Suphanburi dalam kejohanan Piala FA Thai pada 3 Februari 2021.
Junior masuk menggantikan Phanuphong Phonsa pada minit ke-87 permainan dalam aksi debutnya sebelum menjadi tonggak utama Chonburi dengan mencatatkan 2,829 minit bersama kelab itu.
Namun jodoh Junior bersama Chonburi hanya bertahan selama setahun lebih sebelum dia kembali menyertai JDT pada 2022.
Pemain berusia 34 tahun itu kembali ke Thailand dengan menyertai PT Prachuap FC secara pinjaman daripada JDT namun hanya melakukan empat penampilan sahaja.
6. Liridon Krasniqi (Khon Kaen United)
Bekas pemain Harimau Malaya, Liridon Krasniqi antara bintang yang mempunyai banyak pengalaman beraksi di luar negara.
Ini selepas JDT menghantarnya beraksi secara pinjaman di beberapa buah negara antaranya Thailand pada 2022.
Liridon dihantar ke Thailand untuk memperkuatkan Khon Kaen United yang ketika itu merupakan pasukan belasahan di Thai League 1.
Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu hanya mencatatkan aksi debut selama 10 minit yang mana dia masuk sebagai pemain gantian dengan menggantikan pemain Korea Selatan, Jung Han-cheol.
Bersama Khon Kaen United, Liridon hanya mencatatkan lapan penampilan tanpa sebarang jaringan dan 'assist' sebelum menyertai Terengganu FC pada 2023.
7. Muhammad Safawi Rasid (Ratchaburi)
Selepas sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT, Muhammad Safawi Rasid mencuba nasib untuk beraksi di Thai League 1 apabila dipinjamkan ke Ratchaburi FC pada 2022.
Safawi yang hadir dengan reputasi besar sebagai pemain utama Harimau Malaya diharapkan dapat kembali seperti prestasi asalnya sebelum berhijrah ke Portugal bersama Portimonense SC pada 2020.
Dalam aksi debut bersama Ratchaburi, Safawi masuk sebagai pemain gantian dan sempat merekodkan minit permainan selama 45 minit menentang Khon Kaen United pada 21 Januari 2023.
Safawi tidak merekodkan sebarang jaringan dalam aksi debutnya tetapi dia mengutip kad kuning pertama dalam Thai League 1.
Bersama Ratchaburi, Safawi merekodkan 16 penampilan dan berjaya menjaringkan satu gol serta satu assist sebelum kembali ke JDT pada 31 Mei 2023.
8. Fergus Tierney (Nakhon Pathom United)
Penyerang muda Malaysia, Fergus Tierney sah menyertai kelab Thai League 1, Nakhon Pathom United secara pinjaman sehingga akhir musim 2024/25.
Aksi pertama Tierney bersama Nakhonpathom United berjaya membantu pasukan itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Nakhon Ratchasima pada Sabtu (12 Januari).
Penyerang muda Malaysia itu beraksi selama 24 minit dalam aksi debutnya pada separuh masa kedua ketika menewaskan Nakhonratchasima Mazda dengan keputusan 3-0.
Persembahan Tierney dalam perlawanan itu turut mendapat markah 6.8 oleh Sofascore.
Tierney tiba secara pinjaman dari JDT yang mana sebelum itu dia beraksi di Thai League 2 bersama Chonburi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram