Marcus Rashford bakal 'reunion' bersama Erik ten Hag di Borussia Dortmund


  • Podium
  • Selasa, 21 Jan 2025

Rashford mungkin akan kembali bergabung bersama Ten Hag di Borussia Dortmund. — Agensi

PENYERANG Manchester United, Marcus Rashford, masih belum dapat menentukan masa depannya, dengan Borussia Dortmund dan FC Barcelona kini sedang bersaing untuk mendapatkan tandatangannya.

AC Milan telah menarik diri daripada persaingan disebabkan tiada respons daripada kem Rashford sekali gus kini memberi tumpuan kepada pemain lain.

Walaupun hati pemain England itu dilaporkan cenderung untuk berpindah ke Sepanyol, gergasi Catalan menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan isu kewangan bagi mendapatkan Rashford kerana keengganan Ansu Fati meninggalkan Camp Nou.

BACA LAGI: 'Elok lagi kena gantung 2 perlawanan, tindakan protes boleh akibatkan Manuel Hidalgo kena hukuman lebih berat'

BACA LAGI: Bakal terima rawatan seperti Syamer Kutty, JDT hantar Feroz Baharudin ke Barcelona

Keadaan itu memberikan kelebihan kepada gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund seperti dilaporkan The Peoples Person yang Rashford mungkin akan menjalani pemeriksaan perubatan seawal Khamis ini.

Menariknya, graduan akademi Carrington itu mungkin akan bersatu kembali dengan wajah yang dikenali di Westfalenstadion jika Dortmund terus mengalami prestasi buruk.

Jawatan Nuri Sahin kini berada dalam bahaya selepas kekalahan pasukan itu kepada Eintracht Frankfurt pada Sabtu, yang menyebabkan mereka kini di tangga ke-10 Bundesliga.

Dortmund telah tewas tiga perlawanan berturut-turut dan sekiranya mereka kalah kepada Bologna dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada Selasa, Sahin mungkin akan dipecat dengan bekas pengurus United, Erik ten Hag, menjadi pilihan utama untuk mengambil alih.

Menerusi laporan SPORT, pengurus dari Belanda itu tidak menolak kemungkinan membawa Rashford walaupun mereka pernah menghadapi hubungan yang tegang di Old Trafford.

Ten Hag percaya tingkah laku pemain nombor 10 United itu boleh diperbetulkan dan kehadirannya mampu memberi semangat baharu kepada pasukan menjelang separuh kedua musim.

"Dortmund bimbang dengan prestasi semasa pasukan. Mereka kini berada di tempat ke-10 Bundesliga dengan tiga kekalahan berturut-turut kepada Leverkusen, Kiel dan Eintracht.

"Di Jerman, sudah ada perbincangan mengenai ultimatum untuk Nuri Sahin, jurulatih semasa mereka, dan mereka telah memilih penggantinya, Erik ten Hag.

"Sahin akan dipecat sekiranya Dortmund kalah dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Bologna pada Selasa. Jika mereka kalah lagi, Dortmund mungkin akan mengumumkan pada Rabu pelantikan Ten Hag, seorang jurulatih yang mempunyai hubungan baik dengan penasihat Dortmund, Matthias Sammer.

"Ten Hag pernah melatih Rashford di Manchester United dan walaupun pernah menghadapi masalah dengannya, beliau percaya tingkah laku pemain itu boleh diperbaiki dan Rashford boleh memberi impak besar kepada pasukan untuk mendapatkan semula momentum mereka," katanya.

United berharap dapat mencapai penyelesaian secepat mungkin supaya mereka boleh memperoleh bayaran pinjaman dan mengurangkan sebahagian besar gaji, walaupun mereka mungkin perlu menanggung sebahagian daripada gaji penyerang itu.

Jika Rashford berjaya mendapatkan semula prestasinya di Dortmund seperti yang dilakukan oleh Jadon Sancho musim lalu, ia akan menjadi situasi menang-menang untuk INEOS kerana mereka boleh memperoleh yuran perpindahan yang lebih besar dan keuntungan tersebut akan berhasil sepenuhnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram