'Elok lagi kena gantung 2 perlawanan, tindakan protes boleh akibatkan Manuel Hidalgo kena hukuman lebih berat'


  • Podium
  • Selasa, 21 Jan 2025

Tangkap layar video Hidalgo tidak berpuas hati selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

PEMAIN sayap Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo bakal terlepas peluang beraksi di pentas akhir Piala Malaysia 2024/25 selepas dilayangkan kad merah dalam aksi separuh akhir pertama menentang Sabah FC di Stadium Likas pada 18 Januari lalu.

Hidalgo dilayangkan kad merah oleh pengadil, Zamzaidi Katimin pada minit ke-75 selepas dia didapati mengasari bek tengah Sabah, Dominic Tan semasa cuba mendapatkan bola.

Pengadil VAR, Razlan Joffri Ali mengesan tindakannya dan meminta pengadil utama melihat di monitor sebelum mengeluarkan kad merah kepada bekas pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu.

BACA LAGI: Bakal terima rawatan seperti Syamer Kutty, JDT hantar Feroz Baharudin ke Barcelona

BACA LAGI: [VIDEO] 'Where are they now?', 11 bintang AMD termasuk Luqman Hakim pernah 'bantai' Tajikistan 6-2

Keputusan Zamzaidi mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain Tok Gajah terutamanya Hidalgo yang dipercayai melemparkan kata-kata kesat kepada pengadil perlawanan.

Selepas insiden tersebut, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan pemain sayap berusia 25 tahun itu perlu menjalani penggantungan dua perlawanan.

Ini bermakna Hidalgo bukan saja perlu melupakan aksi separuh akhir kedua di Temerloh pada 2 Februari, malah, dia juga perlu melupakan aksi final seandainya Sri Pahang FC berjaya mara ke pentas akhir itu.

Mengulas lanjut insiden Hidalgo itu, pemerhati sukan merasakan keputusan menggantung pemain import Sri Pahang sebanyak dua perlawanan adalah sangat wajar.

"Dia (Hidalgo) terpijak kaki lawannya, jadi dalam bola sepak jarang kita nak dapatkan perkataan 'ter-pijak' itu.

"Jadi 'ter' ini kita letakkan dalam konteks melakukan kesalahan yang disengajakan, kena hukum pemain walaupun niat adalah tidak sengaja.

"Dalam mana-mana liga, pengadil hanya buang pemain yang dia main itu sahaja, tetapi badan penganjur akan bertegas untuk lindungi kejohanan.

"Kita tak boleh benarkan lepas kena kad merah, esok boleh main lagi, selepas itu kena lagi (kad) tapi esok boleh main lagi.

"Satu perkara kita (penganjur liga) boleh buat dalam situasi ini adalah merehatkan pemain supaya dia ada keinsafan dan beringat supaya tidak mengulangi semula perkara yang dilakukannya itu.

"Dalam undang-undang perlawanan setiap kejohanan ada hukuman kalau melibatkan 'direct red card', ada yang gantung dua perlawanan ada juga yang digantung tiga perlawanan," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut mengenai reaksi Hidalgo selepas dilayangkan kad merah, beliau berasakan pemain kelahiran Argentina itu mungkin dikenakan hukuman lebih berat jikalau pengadil membuat laporan ke atasnya.

"Bergantung juga kepada laporan pengadil, contohnya pemain ini diberikan kad merah dan dia diarahkan keluar tetapi kemudian melakukan protes.

"Pengadil tak akan bagi lagi kad merah, tapi dia akan buat laporan sebaik sahaja pemain keluar padang.

"Jikalau perkara itu dilakukan, jadi hukuman itu mungkin lebih lagi, daripada dua (gantung perlawanan) mungkin naik kepada empat," jelasnya.

Kesalahan itu katanya boleh meliputi perkara seperti mengeluarkan kata-kata kesat, makian kepada pengadil dan sebagainya.

"Sebab itu pemain perlu terima kesalahan dengan hati terbuka lebih-lebih lagi bila dah ada VAR, tentu pengadil lebih teliti dan peka mengesan kesalahan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram