LEGENDA bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui sudah tiba masa untuknya mencurahkan khidmat bakti kepada arena bola sepak tanah air berbekalkan pengalaman luas dan kepakaran yang dimilikinya.
Ini selepas namanya dicalonkan bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) dalam kongres pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2024-2029 pada 15 Februari depan.
Perebutan kerusi Exco lelaki meriah dengan 18 calon bersaing bagi merebut lapan kerusi ditawarkan, lapor Stadium Astro.
BACA LAGI: [VIDEO] Enggan ulas kad merah Hidalgo, Fandi mahu Tok Gajah manfaat peluang di Temerloh
BACA LAGI: TFC pertaruh barisan terkuat hadapi PSM Makassar, Safawi-Azam Azmi disebut jadi sandaran utama
Sememangnya, pengalaman luas Zainal Abidin di pentas bola sepak tempatan dan antarabangsa mampu mencetuskan kemajuan yang diharapkan, tatkala pengalamannya sebagai jurulatih dan pengurus melengkapkan pakej untuk berada dalam barisan kepimpinan FAM.
"Saya amat gembira dan satu kejutan buat saya apabila dicalonkan. Saya mahu berterima kasih kepada persatuan-persatuan yang mencalonkan saya.
"Jika saya simpan pengalaman yang ada, ia tidak adil bagi saya," katanya kepada pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam.
Menurutnya lagi, peminat bola sepak hanya menginginkan prestasi yang baik daripada pasukan.
"Bagi saya, peminat bola sepak ini mudah, mereka inginkan sesuatu, mereka bukan memusuhi kita, mereka bukannya membenci kita.
"Mereka tahu saya ada pencapaian yang tinggi, jadi mereka mahukan sesuatu. Jadi, ia adalah tugas yang perlu kami lakukan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram