Pernah bantu Malaysia menang Pestabola Merdeka 1958, penyerang kebangsaan meninggal dunia pada usia 85 tahun


  • Podium
  • Selasa, 21 Jan 2025

Robert Choe mengganggotai skuad Persekutuan Tanah Melayu yang muncul juara Pestabola Merdeka pada 1958. — Facebook/FAM

BEKAS penyerang bola sepak kebangsaan era 1950-an dan 1960-an, Robert Choe Kim Chwee meninggal dunia kira-kira pukul 2 pagi pada Selasa di Hospital Melaka, Melaka pada usia 85 tahun.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan pemergian legenda bola sepak negara itu dan memberitahu legenda merupakan antara tonggak utama Pestabola Merdeka 1958.

BACA LAGI: Wajah baharu Kongres FAM: Zainal Abidin fokus ‘ubi muda’, Dollah Salleh mahu balas kepercayaan

BACA LAGI: Terima dana tambahan RM15 juta, FAM diingat tak hanya tunggu pemberian, perlu giat tarik pelaburan

"Mendiang mengganggotai skuad Persekutuan Tanah Melayu yang muncul juara Pestabola Merdeka pada 1958 dan membantu skuad remaja negara mara ke akhir Kejohanan Bola Sepak Remaja Asia dua kali berturut-turut pada 1959 dan 1960.

"Selepas memenangi emas bersama skuad negara di Sukan SEAP 1961 di Rangoon, menduduki tangga ketiga Sukan Asia 1962 di Jakarta, Robert diberi penghormatan menjadi kapten skuad negara pada Sukan Asia 1966 di Bangkok.

"Beliau mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa pada usia 26 tahun untuk memberi tumpuan terhadap kerjaya selaku pegawai bank," memetik kenyataan dari FAM menerusi laman Facebook.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menyampaikan salam takziah kepada keluarga mendiang menerusi laman Facebooknya.

“Pada 2023, saya bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berkesempatan menziarahi beliau di kediamannya di Ujong Pasir untuk bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan.

“Pemergian ini adalah satu kehilangan besar buat dunia sukan tanah air dan semoga keluarga mendiang diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini...terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram