MALAM yang tidak menggembirakan buat Manchester United apabila diaibkan di laman sendiri selepas tewas 1-3 di tangan Brighton & Hove Albion dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, Manchester, England pada Ahad.
Jaringan gol dari Yankuba Minteh, Kaoru Mitoma, Georginio Rutter serta kesilapan penjaga gawang Man United, Andre Onana menjadi asbab pasukan pelawat itu berhasil mendapatkan tiga mata.
Manakala, skuad bimbingan Ruben Amorim pula sekadar membawa pulang gol saguhati di Old Trafford hasil sepakan penalti sempurna kapten pasukan, Bruno Fernandes pada minit ke-23 permainan.
BACA LAGI: Chelsea sertai Napoli letak harga tinggi rekrut Garnacho dari Man United
BACA LAGI: Liverpool, Man United berebut bek kiri Bayern Munich
Kekalahan 1-3 tersebut meletakkan Man United di tangga ke-13 liga dan menuju ke arah penamat terburuk mereka dalam era EPL. Ini adalah kali pertama sejak musim 1989-90 mereka tewas 10 daripada 22 perlawanan pertama liga.
Rekod buruk itu juga turut diakui oleh Amorim sambil menyifatkan prestasi pasukan bimbingannya ketika ini merupakan paling teruk dalam sejarah kelab yang sudah merangkul 13 trofi EPL.
Pengendali Man United, Ruben Amorim. — X/Fabrizio Romano
"Bayangkan apa perasaan peminat Manchester United sekarang. Bayangkan bagaimana keadaan saya. Kami mendapat jurulatih baharu yang tewas lebih banyak daripada jurulatih sebelumnya (Erik ten Hag). Saya sedar perkara itu.
"Tetapi saya sesekali tidak akan mengubahnya. Saya tahu kami boleh berjaya, tetapi kami perlu melepasi saat ini. Saya bukannya naif dan saya tahu kami perlu mengharunginya.
"Kami adalah pasukan terburuk, mungkin, dalam sejarah Manchester United. Saya tahu anda mahukan tajuk utama, tetapi saya katakan itu kerana kami perlu menyedari dan mengubahnya," kata Amorim.
Juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tiga kali itu hanya mengumpul 26 mata daripada 22 perlawanan musim ini. Penamat terburuk mereka dalam era EPL ialah di tempat kelapan musim lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram