PENCABAR takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Arsenal gagal mengecilkan jurang dalam carta apabila mencicirkan dua mata apabila sekadar seri 2-2 ketika menerima kunjungan Aston Villa di laman sendiri pada Ahad.
Kealpaan benteng pertahanan menyaksikan skuad The Gunners dibolosi sebanyak dua kali pada babak kedua kepada gol Youri Tielemans dan Ollie Watkins selepas mendahului menerusi jaringan Gabriel Martinelli dan Kai Havertz.
Keputusan tersebut sudah tentu mengecewakan kelab London terbabit kerana mereka kini berada enam mata di belakang pendahulu, Liverpool yang beraksi kurang satu perlawanan.
BACA LAGI: Berjaya 'sailang' Liverpool, Arsenal ikat Martin Zubimendi
BACA LAGI: Man United tak cari bek baharu sebab pretasi Maguire, Arsenal berpeluang bawa masuk 2 'winger'
Arteta beranggapan Arsenal masih belum boleh memberi saingan terhadap Liverpool. — Agensi
Menyedari mereka kini semakin sukar untuk memberi tekanan, pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengatakan mereka tidak dapat bersaing secara konsisten kerana terdapat kekangan dari segi pemilihan pemain.
Jelasnya, kualiti skuad The Reds, termasuk mereka yang berada di bangku simpanan mewujudkan jurang kualiti yang besar sehingga menimbulkan kesukaran dalam kekal berada dalam prestasi terbaik.
"Apa yang saya katakan adalah setiap pemain dimasukkan Liverpool boleh mencipta perubahan. Tetapi, dalam pasukan kami, ia adalah hal sebaliknya kerana selepas dibolosi, kami tidak dapat berbuat apa-apa disebabkan keletihan.
"Ini menyebabkan Aston Villa boleh melakukan serangan sekali lagi kerana mereka beberapa kali berada dalam posisi berbahaya untuk menambah lagi jaringan," katanya.
Kualiti pemain di bangku simpanan skuad The Gunners kurang meyakinkan. — Agensi
Tambah pengurus dari Sepanyol itu, Arsenal sebenarnya tidak boleh meletakkan sasaran tinggi kerana sepanjang dua jendela perpindahan kempen 2024/25, mereka hanya membawa masuk Raheem Sterling sebagai pemain serangan senior.
Kekurangan pilihan itu sememangnya mengecewakan bagi Arteta yang melakukan perbandingan dengan Liverpool kerana kelab Merseyside itu mempunyai beberapa pemain di posisi sayap.
Kehadiran Cody Gakpo dan Federico Chiesa mampu meringankan beban dua tonggak sayap The Reds, Luis Diaz dan Mohamed Salah kerana pengendalinya, Arne Slot mampu memastikan anak-anak buahnya berada dalam keadaan optimum bagi setiap perlawanan.
Jadi, dalam usaha mengatasi kekangan itu, Arteta memberi desakan terhadap pihak pengurusan dengan mengatakan mereka perlu berbelanja besar untuk membawa masuk penyerang baharu seperti Viktor Gyokeres, Benjamin Sesko atau Dusan Vlahovic. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram