[VIDEO] Di bawah era RMS, ada 4 pemain import ‘scam’ penyokong Selangor FC


  • Podium
  • Jumaat, 10 Jan 2025

German mendakwa kontraknya di Selangor terpaksa ditamatkan selepas sebulan kerana isu warna kulit.

BELUM tamat Liga Super 2024-2025, pelbagai khabar angin mengaitkan beberapa bintang import untuk memperkuatkan pasukan Selangor FC pada musim depan di bawah pengendali baharu Katsuhito Kinoshi.

Selain pemain import, bintang lokal seperti Stuart Wilkin, Adib Ra'op dan Haqimi Azim turut dikaitkan menyertai Gergasi Merah pada musim depan.

Meskipun belum menjadi kenyataan, khabar angin yang mengaitkan Gergasi Merah itu menandakan pihak pengurusan begitu optimis untuk memperkuatkan skuad menjelang musim depan.

BACA LAGI: [VIDEO] PSSI lantik Patrick Kluivert 'buang' STY, 3 bintang berpeluang kembali perkasa Sang Garuda

BACA LAGI: Bila TMJ buka cerita bintang warisan, fenomena 3 pemain dakwa berdarah Malaysia buat fans terkenang semula

Namun begitu, tidak semua pemain bintang berjaya menambat hati penyokong Gergasi Merah di bawah era Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah sejak 2019.

Apatah lagi harapan diletakkan terhadap pemain-pemain import untuk membantu Gergasi Merah terus memberikan saingan kepada seteru utama, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Majoriti senaraikan empat pemain import pernah 'scam' penyokong Selangor dengan rekod lampau sebelum sertai Gergasi Merah di bawah pimpinan RMS:

1. Antonio German (2019)

Antonio German merupakan antara pemain import 'batch' pertama yang menyertai era RMS di Selangor selepas berjaya memikat hati pihak pengurusan Gergasi Merah ketika itu.

Namun pengalaman lampau German bersama beberapa kelab Inggeris seperti Queen Park Rangers (QPR), Brentford dan Liga Super India tidak berjaya menyelamatkan pemain berusia 33 tahun itu kekal lebih lama di Lembah Klang.

Ini kerana aksi German dalam tiga perlawanan awal bertemu Felda United, Petaling Jaya City dan PKNS FC semasa Liga Super 2019 tidak berjaya menyakinkan pihak pengurusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor, Dr Johan Kamal pernah memberitahu media bahawa pemain itu disingkirkan bukan kerana isu perkauman seperti yang didakwa.

"Kami mahu menegaskan bahawa penamatan kontrak Antonio German, tiada langsung didorong oleh isu perkauman.

"Beliau dilepaskan atas sebab pasukan perlukan pengganti yang menepati corak permainan dan dapat meningkatkan prestasi pasukan," katanya.

Sebelum ini, German mendakwa kontraknya di Selangor terpaksa ditamatkan selepas sebulan kerana isu warna kulit.

2. Manuel Konrad (2021)

Menyertai Selangor selepas pihak pengurusan nekad menggunakan DNA Jerman, Manuel Konrad tidak berjaya menambat hati penyokong selepas reputasinya selaku pemain 'regular' di 2. Bundesliga (liga divisyen kedua Jerman).

Konrad dibawa masuk untuk memperkukuhkan barisan tengah dan pertahanan Selangor, namun aksinya bersama Gergasi Merah tidak mencapai 'standard' penyokong.

Bersama Selangor, pemain berusia 36 tahun itu hanya tampil dalam 13 perlawanan sebelum kembali ke negara kelahiran untuk menyertai SG Sonnenhof Grobaspach selepas DNA Jerman gagal di bumi Merah Kuning.

Kini Konrad bergelar ejen bebas selepas kali terakhir beraksi bersama FV Biberach/Rib sebelum dilepaskan pada 1 Januari lalu.

3. Hyuri Henrique (2022)

Sejak menyertai Selangor pada musim 2022, Hyuri Henrique sering menerima kritikan daripada penyokong kerana gagal menjadi pencetak gol yang baik jika dibandingkan dengan nilainya yang ketika itu mencecah RM2.46 juta.

Dalam 16 perlawanan awal Liga Super 2022, Hyuri hanya mencetak tiga gol bagi saingan Liga Super, manakala dalam saingan Piala FA, dia menyumbang dua jaringan sahaja.

Jumlah jaringan yang disumbangkan oleh pemain kelahiran Brazil itu tidak sepadan dengan tanda harganya sebagai antara pemain termahal Liga M sekali gus menyaksikan penyokong mendesak agar khidmatnya dihentikan.

Hyuri turut mengakui dia tidak menyangka tekanan yang ada di Selangor begitu tinggi pada awal menyertai kelab itu.

4. Richmond Boakye (2023)

Kualiti dimiliki penyerang kelahiran Colombia, Ayron del Valle dirasakan tidak cukup buat Selangor FC musim lalu kerana pada jendela perpindahan kedua, pihak pengurusan bertindak membawa masuk penyerang kelahiran Ghana, Richmond Boakye.

Meskipun tidaklah begitu dikenali, pemain tersebut memiliki karier cukup memberangsangkan apabila pernah beraksi dan menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat Red Star Belgrade.

Selain itu, peledak tinggi lampai tersebut pernah mewakili gergasi Itali, Juventus yang menyaksikannya meraih pingat Serie A meskipun tidak pernah mencatatkan sebarang penampilan.

Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikannya meledak buat skuad Gergasi Merah tidak kesampaian kerana dia kerap mensia-siakan peluang terhidang selain bergelut mencipta keserasian bersama rakan sepasukan.

Kesukaran sepanjang kelab Gergasi Merah itu menyaksikan Boakye hanya sempat menjaringkan enam gol dan tiga bantuan jaringan buat Selangor sebelum kontraknya ditamatkan pada penghujung musim.

Dia kini difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan meskipun baru sahaja berusia 32 tahun serta tidak mengalami sebarang masalah kecederaan serius sepanjang bersama kelab Liga Super itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram