Man United tak cari bek baharu sebab pretasi Maguire, Arsenal berpeluang bawa masuk 2 'winger'


  • Podium
  • Khamis, 16 Jan 2025

Maguire menampilkan aksi cemerlang dalam dua perlawanan menentang Arsenal dan Liverpool baru-baru ini. — Agensi

KHABAR angin perpindahan di liga-liga utama sekitar Eropah terus hangat dibincangkan memasuki minggu kedua jendela musim sejuk dibuka dengan hanya beberapa pasukan sudah membawa masuk wajah baharu.

Setakat ini, hanya perpindahan Donyell Malen dari Borussia Dortmund menjadi buah mulut ramai peminat sementara kelab lain di benua tersebut tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan.

Bagi menghangatkan lagi suasana, media sukan antarabangsa mula mencetuskan spekulasi dengan mengatakan terdapat perpindahan berprofil tinggi bakal dimeterai sebelum tempoh berakhir pada penghujung Januari.

BACA LAGI: Ruben Amorim akui semua pemain di Manchester United menderita, 'letih' selalu kalah

BACA LAGI: Fans Man City rebah di Stadium Etihad sebelum meninggal dunia menjelang aksi Manchester Derby

0_SOCCER_Arsenal_17294237

Gabriel Jesus mengalami kecederaan ACL dan terpaksa berehat lama. — Agensi

Arsenal difahamkan menjadi antara pasukan yang akan memperkuatkan skuad mereka, lebih-lebih lagi dari segi serangan berikutan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) dialami Gabriel Jesus.

Pasukan bimbingan Mikel Arteta itu dilaporkan bakal membawa masuk pemain sayap, sama ada dalam bentuk pinjaman atau kekal dalam usaha mereka untuk terus memberi tekanan terhadap pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Ura-ura mengatakan skuad The Gunners diberikan peluang menandatangani Randal Kolo Muani dari Paris Saint-Germain (PSG) atau penyerang sayap Bayern Munich, Kingsley Coman.

Kedua-dua pemain antarabangsa Perancis tersebut kerap memanaskan bangku simpanan di kelab masing-masing, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa mereka akan berkelana pada jendela perpindahan kali ini.

Namun, Arsenal dilaporkan tidak berminat dengan kehadiran mereka kerana tidak sanggup melakukan perbelanjaan besar untuk mengisi kekosongan yang akan kembali diisi Jesus selepas dia kembali dari kecederaan.

randal-kolo-muani-psg-2024-2025-1050689378h-1727962195-150234

Kolo Muani dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal dalam masa terdekat. — Agensi

Selain itu, skuad The Gunners difahamkan akan melaburkan jumlah besar untuk mendapatkan pemain tengah antarabangsa Sepanyol, Martin Zubimendi dari Real Sociedad.

Dalam pada itu, khabar angin kuat mengatakan sebuah lagi kelab EPL, Manchester United menarik diri daripada usaha menyambar bek tengah, Jarrad Branthwaite yang merupakan tonggak utama Everton.

Pemain berusia 22 tahun itu dikaitkan dengan skuad The Red Devils sepanjang jendela perpindahan musim panas lalu, namun majikannya meletakkan tanda harga terlalu tinggi terhadapnya.

Permintaan itu pada awalnya tidak mematikan minat gergasi EPL tersebut meskipun sudah membawa masuk pemain antarabangsa Belanda, Matthijs de Ligt kerana kualiti Branthwaite sukar disangkal.

Namun, mereka difahamkan tidak lagi mahu menandatangani bek antarabangsa England itu kerana semakin berpuas hati dengan peningkatan ditunjukkan Harry Maguire sejak kehadiran Ruben Amorim.

IMG_8562

Maguire sudah mendapatkan keyakinan semula di atas padang. — Agensi

Pertahanan berusia 31 tahun terbabit menampilkan persembahan cukup memuaskan ketika pasukannya meraih dua keputusan seri berturut-turut menentang Liverpool dan Arsenal.

Sistem dan formasi dipakai Amorim boleh dikatakan kunci yang membantu kebangkitan semula Maguire kerana dia diletakkan di samping de Ligt serta Lisandro Martinez.

Perubahan disaksikan itu sememangnya wajar dipuji kerana beberapa musim lalu, bek tengah terbabit acap kali dikritik kerana sering melakukan kesilapan sehingga merugikan skuad The Red Devils.

Jadi, dengan gaya permainannya yang lebih meyakinkan, Manchester United mengambil keputusan untuk tidak menandatangani Branthwaite dengan pelaburan besar mungkin dibuat di posisi lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram