SEHINGGA hari ini, Manchester City masih terasa dengan kehilangan pememang Anugerah Ballon d'Or 2024, Rodri yang mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) pada September tahun lalu.
Meskipun sudah meletakkan beberapa pemain di posisi berkenaan, skuad The Cityzen boleh dikatakan goyah dengan ketiadaan kualiti pemain Sepanyol itu yang mahir membaca permainan.
Jadi, dengan jendela perpindahan sudah dibuka, Pep Guardiola yang merupakan pengurus kelab pasti berusaha untuk mencari pengganti meskipun perlu membuat pelaburan besar.
BACA LAGI: Alami kesukaran pakai topeng, Tchouameni simpati nasib Mbappe
BACA LAGI: Tchouameni dalam radar kelab terkemuka Eropah
Tchouameni sukar beraksi dengan kerap bersama skuad Los Blancos. — Agensi
Dalam laporan terbaru, Manchester City difahamkan sudah menyenaraikan beberapa calon terbaik untuk dibawa masuk dengan mereka enggan terburu-buru membuat keputusan.
Bagaimanapun, melihat kepada sumber kukuh, juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mahu mendapatkan pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni yang sukar meraih minit permainan di Sepanyol.
Meskipun menyertai skuad Los Blancos dengan yuran perpindahan tinggi, bintang berusia 24 tahun itu kerap disisihkan daripada kesebelasan utama kerana sukar menepikan kehadiran Luka Modric.
Menyedari situasinya semakin sulit, Manchester City yang kerap berbelanja besar dilaporkan bersedia untuk membayar harga ditetapkan untuk membawa masuk pemain antarabangsa Perancis terbabit.
Klopp (kiri) dilaporkan pernah cuba membawa masuk Tchouameni. — Agensi
Khabar angin mengatakan Tchouameni mahu mencuba suasana dalam EPL bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum menyertai Real Madrid, dia pernah dikaitkan dengan Liverpool.
Skuad The Reds yang ketika itu berada di bawah kendalian Jurgen Klopp dilaporkan cukup berminat untuk menandatangani pemain itu, namun tidak mahu membayar yuran perpindahan terlalu tinggi.
Namun, kegagalan menyambar khidmatnya tidaklah terlalu mengecewakan kerana ketika ini, mereka memiliki lambakan pilihan di posisi berkenaan dengan gandingan Alexis Mac Allister, Dominik Szoboszlai dan Ryan Gravenberch cukup serasi.
Hal itu sekali gus membuka pintu luas buat Manchester City untuk membawanya masuk sekiranya kelab berkenaan sanggup membayar yuran ditetapkan Real Madrid terhadapnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram