JOHOR Darul Ta'zim (JDT), sebut sahaja nama pasukan yang dimiliki oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim pastinya menghadirkan rasa gerun kepada pihak lawan apabila melihat rekod luar biasa yang pernah dicipta kelab Selatan tanah air itu.
Tunku Ismail telah melakukan kerja-kerja yang mungkin sukar untuk dibuat mana-mana individu dalam negara apabila menaikkan nama Johor sehingga dikenali di persada dunia.
Borussia Dortmund (Jerman) dan Zenit Saint Petersburg (Rusia) antara pasukan yang pernah menjadi lawan JDT selepas rekod cemerlang Harimau Selatan di liga domestik.
BACA LAGI: Khabar angin ada kelab bakal 'bungkus' musim depan, 6 pasukan wajar ‘comeback’ demi Liga M
Jadi tidak hairanlah ramai pemain mahu mencuba nasib beraksi bersama JDT sekali gus merasai pengalaman duduk di sebuah kelab yang mempunyai mentaliti sang juara.
Selain nama-nama seperti Arif Aiman Hanapi, Muhammad Safawi Rasid dan Natxo Insa ada beberapa pemain yang mungkin anda tidak tahu pernah menyarung jersi Harimau Selatan.
Majoriti senaraikan tiga pemain yang pernah menyarung jersi JDT sebelum memilih untuk berkelana ke pasukan lain selepas sukar mendapat tempat:
Aguero bermula dengan JDT sebagai destinasi pertama untuk mencuba nasib di Malaysia.
1. Sergio Ezequiel Aguero
Sebelum memulakan langkah dalam kancah bola sepak Malaysia, Sergio Ezequiel Aguero bermula dengan JDT sebagai destinasi pertama untuk mencuba nasib di negara ini.
Ketika tiba di Malaysia, Aguero berusia 22 tahun dan berada di bawah pengawasan Benjamin Mora yang memantau sesi latihan percubaan pemain kelahiran Argentina itu bersama JDT II.
Perancangan awal jika Aguero berjaya dalam sesi percubaan itu, dia akan diserapkan ke dalam skuad JDT II sebagai pemain import pada musim 2017.
Namun begitu, Aguero dikhabarkan gagal melepasi ujian percubaan di JDT II dan menyarung jersi Melaka United bagi menggantikan penyerang import, Yashir Pinto pada 2016.
Kini Aguero sudahpun bergelar pemain tempatan selepas dinaturalisasikan pada 2023 oleh Sri Pahang FC yang juga merupakan pasukan semasa diwakilinya.
Akram diturunkan ke JDT II bagi saingan musim 2014 dan 2015.
2. Akram Mahinan
Akram Mahinan pernah menjadi sebahagian daripada skuad JDT dalam karier bola sepaknya.
Pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan Harimau Muda B dan menandatangani kontrak bersama Johor Darul Ta'zim.
Kemasukannya Akram diberikan jersi nombor 31 dan berjaya membuat 18 penampilan pada musim debutnya pada 2013.
Akram kemudiannya diturunkan ke JDT II bagi saingan musim 2014 dan 2015.
Pada 2016, Akram dinaikkan semula ke JDT, tetapi tidak membuat sebarang penampilan dalam liga, bagaimanapun pemain kelahiran Kedah itu berjaya membuat dua penampilan dalam saingan Piala AFC 2016.
Giannelli menunjukkan potensi besar dalam membantu pasukan JDT II, terutamanya di bahagian serangan.
3. Sean Gan Giannelli
Sean Gan Giannelli pemain yang pernah menyarung jersi JDT.
Sebagai pemain muda berbakat, Giannelli menunjukkan potensi besar dalam membantu pasukan JDT II, terutamanya di bahagian serangan.
Walaupun tidak diturunkan dalam skuad utama, kehadirannya dalam JDT menjadi bukti usaha kelab untuk mengembangkan bakat pemain tempatan.
Pada tahun 2012, Giannelli menyertai akademi remaja kelab Arezzo, sebuah pasukan dalam divisyen keempat Itali, yang mana dia berjaya menarik minat daripada akademi remaja Milan, salah satu kelab paling berjaya di Itali.
Pada 2023, Giannelli bersama Kuala Lumpur City dengan kontrak selama dua tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram