KAPTEN Terengganu FC (TFC), Muhammad Safawi Rasid yakin pasukannya berpeluang untuk melangkah ke pusingan kalah mati Piala Shopee walaupun Sang Penyu kini menduduki tangga keempat dalam kejohanan itu.
Safawi berkata, Terengganu akan memastikan untuk mengutip mata maksimum dan rakan-rakannya fokus untuk baki perlawanan.
"Kita punya kumpulan masih ada peluang, kami (Terengganu) untuk baki dua perlawanan.
BACA LAGI: Kehadiran bintang warisan buka peluang pemain lokal tonjol prestasi terbaik — Safawi Rasid
"Kami nak kutip mata maksimum jadi apa-apa boleh berlaku.
"Jadi saya nak rakan sepasukan lebih fokus untuk Piala ACC (Piala Shopee)," katanya ditemui media pada majlis jelajah trofi Piala Shopee di Sunway Velocity Cheras pada Ahad.
Safawi dan Manuel Ott ketika menghadiri majlis jelajah trofi Piala Shopee di Sunway Velocity.
Tambahnya lagi, kemenangan ke atas kelab Myanmar, Shan United memberikan tonik tambahan buat pemain-pemain Terengganu untuk menghabiskan baki saingan liga musim ini.
Safawi juga mengakui prestasinya musim ini dalam keadaan baik untuk beraksi dengan lebih keras bersama Terengganu.
"Sudah tentu ia (kemenangan) memberikan motivasi tambahan untuk pasukan yang akan bermain untuk minggu depan.
"Saya rasa ia motivasi tambahan untuk pemain-pemain yang akan bermain sehingga tamat liga.
"Bagi saya prestasi musim ini dalam keadaan baik, alhamdulillah banyak kejayaan yang telah saya buat daripada hasil usaha keras.
"Saya rasa musim ini lebih relaks, lebih 'cool' dan lebih yakin," jelasnya.
Safawi menghadiri majlis jelajah trofi Piala Shopee di Sunway Velocity Cheras bersama-sama Manuel Ott bagi mewakili pasukan Terengganu FC.
Manakala pasukan Kuala Lumpur City FC pula diwakili oleh Brendan Gan dan Declan Lambert sekali gus memberikan peluang untuk peminat bertemu idola mereka secara dekat.
Selepas mengharungi tiga perlawanan Piala Shopee, KL City dan Terengganu perlu memastikan rentak masing-masing diteruskan dengan hanya dua aksi berbaki untuk layak ke pusingan kalah mati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram