'Menang tak nak, sedekah mata boleh', fans tuntut pemain lokal kerja keras bantu Denzel-Halls


  • Podium
  • Isnin, 13 Jan 2025

Dylan meraikan jaringan hatriknya bersama Penang pada Ahad (12 Januari). — Penang FC

PENYOKONG Penang FC menuntut supaya pemain-pemain tempatan Harimau Kumbang untuk beraksi dengan lebih baik sekali gus membantu pasukan meraih tiga mata penuh.

Ini selepas Penang terikat dengan keputusan 3-3 selepas terlebih dahulu mendahului ketika melayani kunjungan Perak FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad (12 Januari).

Jaringan hatrik yang dijaringkan oleh Dylan Wenzel-Halls itu tidak cukup buat Penang mengutip tiga mata penuh sekali gus memperbaiki kedudukan liga.

BACA LAGI: Dana RM30 juta bukti kerajaan komited, FAM boleh beri imbuhan tinggi demi moral pemain

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kalau di Kedah masih melopong tunggu gaji, aksi 'clean sheet' Kalamullah terima pujian ramai

Rata-rata penyokong Harimau Kumbang melontarkan komen dalam media sosial Penang berharap pemain lokal lebih bekerja keras membantu bintang import lain.

"Inilah Penang yang kami kenal, menang tak nak sedekah (mata) boleh," kata seorang penyokong.

"Kesian dekat Dylan, dia ledak hatrik malam ini (12 Januari) ingat boleh bantu pasukan dapat tiga mata. Tapi rakan lain pula tak bagi kerjasama," luah Muhammad Fariz.

"Padu Dylan import berbaloi, tapi itulah. Bila kawan (Dylan) dah 'perform' siap hatrik rakan sepasukan pula main tak bagus," ujar Muhammad Ikmal Nizam.

Meskipun kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk mencatatkan kemenangan, kedua-dua pasukan terpaksa melupakan hasrat untuk meraih tiga mata dengan penyokong tuan rumah lebih kecewa akan keputusan itu.

Bagi mereka, kesilapan demi kesilapan terjadi di atas padang sepatutnya boleh dielak, termasuk daripada Syamer Kutty Abba yang menarik Wan Zack Haikal Wan Noor sehingga pengadil memberikan sepakan penalti.

Penyokong Harimau Kumbang beranggapan pemain dengan kaliber sedemikian tidak sepatutnya mengambil tindakan sedemikian kerana hanya merugikan pasukan.

"Syamer tu nampaknya sudah keletihan, tetapi kita tiada pengganti setandingnya. Itulah kenapa barisan jurulatih tidak mengeluarkannya. Musim depan boleh cari pemain sepertinya," kata Mohd Ikram Fikry.

"Syamer tu rasanya boleh dihantar pulang ke JDT. Kasihan tengok Wenzel tu, dia berpusing satu padang untuk mendapatkan bola," kata Nabil Hafiy.

Keputusan seri itu menyaksikan Penang FC yang berada di bawah bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail menduduki tangga ke-11 sementara Perak FC naik ke tangga kelapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram