BINTANG boling negara, Natasha Roslan baru-baru ini melakar satu lagi sejarah buat Malaysia apabila berjaya menakluk pentas dunia dengan menjuarai Piala Dunia Persatuan Boling Antarabangsa (IBF) di Kowloon, Hong Kong.
Ia merupakan kejayaan besar kedua Natasha apabila sebelum ini bergelar juara dunia di Salmiya, Kuwait menjadikannya pemain boling Malaysia pertama tanpa mengira jantina yang memenangi gelaran berganda Kejohanan Dunia dan Piala Dunia.
Kejayaan berganda yang dikecapi bintang berusia 27 tahun itu akan menerima pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai atlet wanita pertama yang memenangi Piala Dunia IBF.
BACA LAGI: Natasha Roslan buktikan kualiti rangkul gelaran juara Piala Dunia, tundukkan jaguh boling Jerman
Memetik laporan Harian Metro, Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok yang memaklumkan bahawa MBOR akan menyampaikan sijil kepada Natasha yang akan kembali ke tanah air pada Rabu.
Maradona berkata, kejohanan Piala Dunia tidak berada di bawah senarai skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dan menyebabkan Natasha tidak akan menerima sebarang pemberian insentif.
"Kejohanan Piala Dunia tidak berada dalam senarai Shakam jadi atlet dan jurulatih tidak menerima apa-apa ganjaran dalam bentuk wang apabila menang.
"MSN (Majlis Sukan Negara) hanya membenarkan untuk memilih dua kejohanan untuk skim Shakam, satu di peringkat dunia dan satu Asia.
"Jadi bagi peringkat dunia MTBC memilih Kejohanan Dunia dan di Asia adalah Kejohanan Asia," katanya.
Bagaimanapun, Maradona tidak menolak mungkin ada perubahan di bawah kepimpinan baharu di bawah presiden, Datuk Mohd Najeeb Abdullah.
Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok.
"Kebiasaan tiada pemberian insentif di lain-lain kejohanan kerana dana yang sangat terhad.
"Namun sekarang ada presiden baru, saya tak pasti. Saya akan balik dahulu dan lihat apa yang dibincangkan oleh exco dalam mesyuarat nanti," katanya.
Dalam pada itu, kejayaan di Hong Kong menyaksikan Natasha tampil garang menewaskan pemain Jerman, Birgit Noreiks dalam dua set straight dengan skor 217-166 dan 226-169 dalam aksi yang penuh dramatik yang dibuat di Kai Tak Sports Park pada Jumaat.
Keputusan itu bukan sahaja membuktikan kehebatannya tetapi turut menjadikannya pemain wanita pertama dari Malaysia yang berjaya memenangi gelaran perseorangan Piala Dunia IBF sejak ia diperkenalkan pada 1972.
Sebelum ini, Syafiq Ridhwan Abdul Malek pernah memahat sejarah dengan memenangi kategori lelaki pada 2012. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram