AKSI pertama Fergus Tierney bersama Nakhonpathom United berjaya membantu pasukan itu meraih kemenangan 3-0 ke atas Nakhon Ratchasima pada Sabtu (12 Januari).
Pasukan yang diberi jolokan The King Tigers itu meneruskan momentum kemenangan selepas berjaya menewaskan Chiangrai United pada 7 Disember lalu.
Anak-anak buah Thongchai Sukkoki membuka tirai jaringan menerusi Pheemphapob Viriyachanchai pada minit ke-28.
BACA LAGI: Pemain Malaysia terus dipandang sepi, 5 bintang Asean jadi rekrut baharu kelab Thailand
BACA LAGI: Masih percaya kudrat K. Nathakumar, CEO Negeri Sembilan nafi Nidzam Jamil kemudi The Jangs
Nakhonpathom selesa mendahului 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama menerusi jaringan import Brazil, Valdo pada minit ke-42.
Bersambung babak kedua, Nakhon Ratchasima membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat menyekat pelawat memburu gol tambahan.
Malangnya, Nopphakao Prachobklang memastikan kemenangan milik The King Tigers menerusi gol pada minit ke-59.
Nakhon Ratchasima kemudiannya ditimpa malang apabila Nattapong Sayriya mengutip kad kuning kedua lima minit selepas itu.
Kelebihan tiga gol dan 11 pemain yang dimiliki Nakhonpathom mendorong Thongchai membuat pertukaran pemain sekali gus memberikan peluang pertama kepada Tierney pada minit ke-66.
Penyerang muda Malaysia itu beraksi selama 24 minit pada separuh masa kedua yang mana persembahan Tierney mendapat markah 6.8 oleh Sofascore.
Tierney antara enam pemain baharu yang direkrut oleh The King Tigers dalam jendela kedua perpindahan Thai League 1.
Pemain berusia 22 tahun itu tiba secara pinjaman dari kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bekas pemain Chonburi FC itu bakal disertai rakan senegara, Muhammad Abu Khalil selepas dilaporkan mencapai persetujuan untuk menyertai Nakhonpathom secara pinjaman sehingga akhir musim 2024/25.
Dalam pada itu, penyokong turut bangga dengan persembahan Tierney apabila berjaya membantu Nakhonpathom mengutip tiga mata berharga meskipun hanya beraksi selama 30 minit.
"Masuk minit ke-66, kira 30 minit juga dia (Tierney) main. Okay itu untuk debut pertama dengan kelab. Dia satu-satunya import simpanan, yang lain main. Dia kalau ok rasa boleh gilir-gilir main dengan Valdo. Usia pun dah 36 tahun," kata Azlan Mira.
"Mula-mula ingat dia ini kacukan, rupanya lahir sini (Malaysia). Lahir sini berkhidmat di negara kelahirannya malah pandai cakap Melayu," ujar Mohd Tazrie.
Tierney sebelum ini beraksi bersama Chonburi FC sebelum khidmatnya ditamatkan oleh pihak pengurusan dipercayai selepas mahu mewakili skuad kebangsaan untuk Piala Asean 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram