MARCUS Rashford bakal mengikuti jejak Jadon Sancho keluar dari Manchester United selepas Borussia Dortmund dilaporkan berminat untuk mendapatkan tandatangannya pada jendela perpindahan Januari ini.
Tiga kelab besar Eropah dikatakan turut bersaing untuk menandatangani penyerang yang ingin keluar itu, sementara Rashford juga mempunyai beberapa pilihan untuk kekal di England.
Situasi masa depan Rashford di Old Trafford semakin 'panas' apabila jendela perpindahan Januari 2025 dibuka, dengan banyak kelab mula menunjukkan minat terhadapnya.
BACA LAGI: Ong Kim Swee serap DNA Harimau Muda, lantik Juan Torres pembantu jurulatih Persis Solo
BACA LAGI: Sehebat zaman 3 peledak legenda lokal, fans Sang Penyu teruja trio Mamut-Akinade-Bonilla
Pengendali United, Ruben Amorim telah mengecualikan pemain berusia 27 tahun itu daripada skuad perlawanan untuk kali kelima dalam enam perlawanan, dengan alasan kecederaan menjadi punca ketiadaannya kali ini.
Rashford tidak bermain untuk United sejak dikeluarkan dalam kemenangan 2-1 ke atas Viktoria Plzen pada 12 Disember lalu, dan semakin jelas dia mungkin tidak akan mewakili kelab zaman kanak-kanaknya lagi.
Rashford mungkin mengikuti langkah keluar dari Red Devils seperti rakannya Sancho, yang kembali ke Dortmund secara pinjaman untuk separuh kedua musim lalu selepas konflik terbuka dengan Erik ten Hag.
Menurut laporan The Athletic, gergasi Liga Jerman itu telah menyertai perlumbaan untuk mendapatkan Rashford secara pinjaman awal bulan ini.
Selain Dortmund, dikatakan bahawa duo Serie A, AC Milan dan Juventus, juga sedang mempertimbangkan peluang, untuk mendapatkan Rashfod secara pinjaman.
Laporan itu juga menyebut bahawa Rashford mungkin kekal di United sehingga musim panas meskipun secara terbuka mengakui bahawa dia bersedia untuk cabaran baharu dan langkah seterusnya.
Minat terhadap Rashford dilaporkan semakin meningkat, dan perbincangan tentang pilihannya sedang berlangsung, tetapi tiada keputusan muktamad mengenai destinasi seterusnya buat pemain antarabangsa England itu.
Gaji Rashford yang tinggi sebanyak £325,000 (RM 1,824 juta) seminggu, sebahagian daripada kontrak baru sehingga 2028 yang ditandatanganinya pada 2023, mungkin menjadi penghalang utama.
United dilaporkan bersetuju untuk menanggung separuh dari gaji Rashford, namun menjadi persoalan adakah kelab berminat mampu membayar jumlah itu masih belum diketahui.
Rashford tidak akan terburu-buru membuat keputusan selepas dia mencari kelab yang mampu memberikan peluang buatnya untuk merebut kembali tempatnya dalam skuad England di bawah Thomas Tuchel.
Pemain berjersi nombor 10 United itu memerlukan platform untuk meyakinkan pengganti Gareth Southgate untuk membawanya ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico.
Walaupun terdapat minat dari Arab Saudi dan MLS (Amerika Syarikat) Rashford dijangka kekal di Eropah.
Amorim masih memberi laluan untuk Rashford kembali ke dalam perancangannya jika dia memperbaiki sikap dan komitmen dalam latihan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram