PERUBAHAN format Liga Super 2024/25 menyaksikan beberapa kelab berdepan situasi yang mana pemain utama mereka meninggalkan kelab berikutan tarikh kontrak yang tidak disambung.
Ini kerana, sekiranya hendak dibandingkan dengan musim-musim lalu, kempen itu hanya akan berakhir pada Disember, selari dengan tempoh kontrak ditawarkan pihak pengurusan kelab masing-masing.
Namun, dengan perubahan yang sudah dilaksanakan, terdapat beberapa pemain yang memilih untuk tidak menyambung kontrak masing-masing sekali gus membolehkan mereka mencari kelab baharu.
BACA LAGI: Sedihnya tiada lambaian perpisahan Sony Norde kepada penyokong di Darul Aman
Meskipun lanjutan kontrak itu boleh ditawarkan kepada mereka, ada sesetengah kelab enggan berbuat demikian kerana faktor permintaan gaji dan kesesuaian taktikal sehingga menyaksikan khidmat pemain-pemain itu dilupakan.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut ialah tiga import yang dilaporkan bakal meninggalkan pasukan masing-masing tidak lama lagi dengan ada daripada mereka sudah mempunyai destinasi baharu.
Lee Tae-min (Perak FC)
Tae-min meninggalkan kelab The Bos Gaurus (TBG) dengan rekod dua gol dan satu bantuan gol daripada 11 penampilan sepanjang musim ini. — Facebook/TBG
Pemain sayap Perak FC, Lee Tae-min, secara rasmi mengumumkan perpisahannya dengan pasukan itu selepas hanya sembilan bulan beraksi di Liga Super Malaysia.
Pemain import dari Korea Selatan itu meninggalkan kelab The Bos Gaurus (TBG) dengan rekod dua gol dan satu bantuan gol daripada 11 penampilan sepanjang musim ini.
Tae-min, yang menyertai Perak FC pada Mac 2024 dari K League 2, menyifatkan pengalamannya di Malaysia sebagai sesuatu yang amat berharga.
Malah, dalam kenyataan perpisahannya, pemain berusia 21 tahun itu sempat mengucapkan terima kasih kepada penyokong serta rakan sepasukan atas sokongan yang diberikan sepanjang dia bersama skuad Bos Gaurus.
Penampilan terakhir Tae-min adalah dalam perlawanan Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi timbal balik Piala Malaysia pada Sabtu sebagai pemain simpanan.
Perpisahan Tae-min menjadi satu lagi cabaran buat Perak FC, yang kini dalam proses membina semula pasukan menjelang musim baharu.
Namun, tidak dapat dipastikan faktor di sebalik keputusannya untuk meninggalkan pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu.
Marin Pilj (Terengganu FC)
Pilj merupakan antara import cemerlang Sang Penyu apabila mencetak dua jaringan gol dan satu bantuan gol dalam 16 penampilan bagi semua perlawanan musim ini. — Facebook/TFC
Pada 25 November lalu, Terengganu FC (TFC) mengumumkan perpisahan mereka dengan Marin Pilj, pemain pemain tengah dari Croatia yang menyertai pasukan pada awal musim ini.
Malah, pihak pengurusan skuad Sang Penyu sendiri mengakui ia satu keputusan yang berat untuk diambil kerana penghijrahan itu dibuat ketika musim sedang berlangsung.
Walaupun begitu, perpisahan dilihat jalan terbaik buat kedua-dua pihak dengan masing-masing mempunyai faktor tersendiri.
Pilj, yang sebelum ini bermain di liga sekitar Eropah, tiba di Malaysia dengan reputasi yang menjanjikan, namun kegagalannya untuk menyerlah di Liga Super mencerminkan cabaran besar yang dihadapi pemain asing dalam menyesuaikan diri dengan suasana bola sepak tempatan.
Sepanjang bersama Terengganu, pemain berusia 26 tahun itu merupakan antara import cemerlang Sang Penyu apabila mencetak dua jaringan gol dan satu bantuan gol dalam 16 penampilan bagi semua perlawanan musim ini.
Dengan perpisahan tersebut, skuad Badrul Afzan Razali dijangka akan mencari pengganti yang mampu memperkukuhkan bahagian serangan mereka dalam baki musim yang mendatang.
Sony Norde (KDA FC)
Norde yang terkenal dengan kemahiran dan kelajuan di posisi sayap, menyertai KDA FC dengan harapan membantu meningkatkan prestasi pasukan tersebut. — Facebook/KDAFC
Pemain sayap berpengalaman dari Haiti, Sony Norde difahamkan akan menamatkan tempohnya di Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan menyertai kelab di Indonesia pada Disember ini.
Berita perpisahan tersebut sekali gus mengakhiri perjalanan Norde di Liga Malaysia (Liga M) selepas empat tahun bersama pelbagai pasukan, termasuk skuad Sang Kenari dan Terengganu FC.
Norde yang terkenal dengan kemahiran dan kelajuan di posisi sayap, menyertai KDA FC dengan harapan membantu meningkatkan prestasi pasukan tersebut.
Sepanjang kariernya dalam Liga M, dia berjaya menjadi pemain utama dan mendapat tempat dalam hati peminat melihat kepada kesungguhannya setiap kali beraksi buat kelab yang berpangkalan di Utara tanah air itu.
Keputusan untuk berkelana ke Indonesia difahamkan akan dimeterai selepas aksi terakhirnya bersama KDA FC pada pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/25 menentang Kuala Lumpur City di tempat lawan.
Ia akan menjadi penampilan terakhir Norde bersama KDA FC sebelum beralih ke cabaran baru di luar negara.
Peminat KDA FC pasti akan merindui kehadiran pemain sayap ini, yang telah memberikan sumbangan besar kepada pasukan sepanjang tempoh kerjanya di Liga Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram