NAMA bek kanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold menjadi topik perbualan penyokong Liverpool apabila pemain antarabangsa England itu memberi persembahan kurang memuaskan ketika aksi seri 2-2 menentang Manchester United pada Isnin.
Alexander-Arnold menerima kritikan daripada pemerhati sukan dan penyokong susulan ada yang melihat pemain itu terlalu memikirkan khabar angin ke Real Madrid sehingga menjejaskan mutu permainannya.
Kontrak pemain berusia 26 tahun berkenaan akan tamat pada akhir musim dan dia khabarkan sedang diburu oleh Real Madrid. Walaupun sudah mula 'dilamar' namum kelab gergasi Sepanyol itu masih belum menawarkan kontrak kepadanya.
BACA LAGI: Baru keluar Kedah, Cleylton sudah dipinang Kim Swee dan 1 lagi kelab Indonesia
BACA LAGI: Tiga kelab Liga M termasuk Sri Pahang berputih mata, Jesper rupanya kembali warnai Liga Thailand
Status yang masih kurang jelas itu bagaimanapun sudah mula mengganggu fokus pemain akademi Liverpool tersebut sehingga penyokong mendakwa aksi buruknya menentang Man United seolah-olah protes sebelum ke kelab baharu.
Gaya permainan semakin menurun di tengah-tengah desas-desus khabar angin bukan hanya berlaku kepada Alexander-Arnold susulan beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) juga pernah membuat perkara sama.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang pernah tampil dengan situasi sama seperti Alexander-Arnold menjelang perpindahan ke pasukan baharu.
1) Azrif Nasrulhaq
Azrif bersama Selangor sejak musim 2010. — Facebook/Selangor
Bek kanan yang kini beraksi bersama Sri Pahang FC, Azrif Nasrulhaq pernah mengecewakan Selangor FC apabila pemain itu sendiri hampir menandatangani kontrak dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan sanggup menebus kontrak membabitkn nilai RM720,000.
"Tolong lepaskan saya kali ini. Peluang ini hanya datang sekali, selepas itu kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Saya sudah berbincang dengan keluarga, saya harap Selangor dapat lepaskan saya untuk ke JDT," rintihnya memetik laporan media pada Jun 2016.
Rintihan Azrif membuatkan penyokong melihat dia seperti tidak mengenang jasa Gergasi Merah yang telah menaikkan namanya sebagai salah seorang pertahanan kanan terbaik ketika itu.
Selepas beberapa kali perbincangan mengenai isu kontrak, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mencapai persetujuan dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk melepaskannya.
Bagaimanapun, FAS tidak mendedahkan butiran persetujuan dan jumlah perpindahan Mohd Azrif ke JDT. Setelah tujuh tahun beraksi bersama Harimau Selatan, Azrif mula menyarung jersi Sri Pahang pada 2022.
2) Syafiq Ahmad
Tangkap layar ciapan dari Syafiq.
Selepas kurang menjadi pilihan bahagian serangan JDT, Syafiq Ahmad memasang hasrat untuk menyertai kelab baharu pada 2021 dan salah satu kelab yang dikaitkan dengan pemain itu ialah Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Keinginan penyerang kebangsana berkenaan untuk terus mendapatkan minit permainan diluahkan menerusi ciapan di media sosial Twitter miliknya, yang berbunyi 'seronok tengok kawan-kawan main bola'.
Ciapan berkenaan menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong dan pemilik JDT iaitu Tuanku Ismail Sultan Ibrahim juga menegurnya, yang memberitahu bahawa semua pemain perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat untuk beraksi.
Selepas tidak mendapat tempat dalam Harimau Selatan sehingga musim 2022, pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang berkenaan dipinjamkan ke skuad Sang Kenari dalam tempoh singkat.
Musim ini, pemain berusia 29 tahun berkenaan kembali lagi ke pangkuan KDA FC menerusi pinjaman daripada JDT. Mendapat peluang dalam 12 perlawanan Liga Super untuk Kedah, Syafiq berhasil meledak dua jaringan gol bersama Sang Kenari.
3) Endrick Dos Santos
Endrick berjaya membantu pasukan Penang menjuarai Liga Premier pada 2020. — Facebook/Penang FC
Sebelum secara rasminya berhijrah ke JDT pada awal musim 2023, Endrick Dos Santos sudah terlebih dahulu menunjukkan sikap akan meninggalkan Penang FC ketika desas-desus hangat mengaitkannya dengan Harimau Selatan.
Antara yang panas apabila Endrick pernah diberikan cuti rehat ketika perlawanan Harimau Kumbang menentang JDT pada Julai 2022. Perkara itu jelas menimbulkan syak wasangka penyokong terhadapnya.
Enam bulan selepas isu cuti rehat itu, bekas pemain Selangor FC berkenaan diumumkan sebahagian keluarga JDT dan didaftarkan sebagai pemain naturalisasi mereka untuk musim 2023.
Kini, Endrick beraksi bersama kelab Vietnam iaitu Ho Chi Minh City secara pinjaman. Setakat sembilan perlawanan liga dia diturunkan, Endrick meledak satu gol dan sati bantuan jaringan untuk Ho Chi Minh City. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram