
ISU kewangan dialami Kedah Darul Aman (KDA) FC menyaksikan beberapa pemain mengambil keputusan meninggalkan pasukan tersebut demi kelangsungan hidup masing-masing.
Antara yang terbaru berbuat demikian ialah Sukhrob Nurullaev, Faiz Nasir dan bek tengah import, Cleylton Santos dengan kenyataan kelab memberi bayangan bahawa mereka menerima tawaran.
Namun, kira-kira sebulan sebelum laporan pemergian mereka, penyokong Hijau Kuning sudah meratapi penghijrahan penyerang sayap, Sony Norde yang mengambil keputusan menamatkan tempoh lima tahun dalam Liga Super.
BACA LAGI: Sony Norde kini jumpa kelab baharu, sertai Malut United di Indonesia
BACA LAGI: [VIDEO] Sony Norde hanya pergi 6 bulan, janji balik KDA FC kalau semua selesai
Dia yang mempunyai tubuh badan sasa serta kepantasan memukau boleh diangkat sebagai antara import paling bernilai kerana kehadirannya amat penting buat skuad kendalian Nafuzi Zain dan Victor Andrag.
Jadi, selepas tiga minggu mengumumkan pemergian dari KDA FC, pemain kebangsaan Haiti itu akhirnya diumumkan sebagai pemain terbaru Malut United, sekali gus meletakkannya dalam senarai pemain Liga Super yang berkelana ke Indonesia.
Keputusan itu sedikit mengejutkan kerana berdasarkan pemerhatian beberapa tahun kebelakangan ini, keputusan tersebut mengundang padah terhadap mereka yang berbuat demikian disebabkan kesukaran untuk menyesuaikan diri.
Namun, situasi tersebut tidaklah membelenggu kesemua daripada pemain yang berkelana kerana terdapat tiga bekas import Liga Super mencipa nama di negara jiran dengan kelab masing-masing.
1. David da Silva
Pada 2021, skuad Sang Penyu mengambil keputusan membawa masuk penyerang kelahiran Brazil, David da Silva yang sebelum itu beraksi cemerlang buat beberapa kelab sekitar Asia, termasuk buat Persebaya Surabaya di Indonesia.
Meskipun memiliki rekod yang baik, perpindahan itu sukar menerima respons baik daripada penyokong kerana ketika itu, pemain berkenaan sudah berusia 30 tahun yang menceritakan kemasukannya adalah penyelesaian jangka masa pendek.
Gaya permainan da Silva bersama skuad Sang Penyu seperti kurang serasi. — Facebook/Terengganu FC
Keluhan itu segera dipadam pemain terbabit kerana sepanjang tempoh perkhidmatannya, David sempat mencetak tujuh gol daripada 15 penampilan Liga Super yang membantu mereka menduduki tangga keempat.
Jadi, selepas pihak pengurusan menyedari kehadirannya tidak dihargai, mereka bertindak melepaskannya pada penghujung musim, sekali gus menyaksikannya pulang ke Indonesia dan menyertai Persib Bandung.
Keputusan terbabit sememangnya tepat buat penyerang berkenaan kerana pelbagai momen manis berjaya direkodkan, termasuk menjulang Liga 1 Indonesia selain muncul penjaring terbanyak pada 2024.
2. Yevhen Bokhashvili
Pulangan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam 10 penampilan sepanjang semusim bersama Sri Pahang FC membuktikan pemain kelahiran Ukraine, Yevhen Bokhashvili gagal menyesuaikan diri di kelab Pantai Timur itu.
Muak dengan hasil tidak berbaloi itu, pihak pengurusan kelab Pantai Timur tersebut mengambil keputusan tidak menyambung kontraknya dengan dia kemudian berhijrah ke Indonesia untuk menyertai Persipura Jayapura.
Bokhashvili mengalami tempoh sukar bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Langkah tersebut sememangnya tidak menghairankan kerana sebelum bersama skuad Tok Gajah, Bokhashvili sudah berpengalaman di liga itu selepas menghabiskan tempoh setahun bersama PSS Sleman.
Malah, perpindahan terbabit membawa kelebihan besar buat bekas pemain Bawah 21 Tahun (B-21) Ukraine itu kerana dia tidak memerlukan masa panjang untuk menyesuaikan diri dengan lapan gol dicetak dalam 26 penampilan buat pasukannya.
Kini, selepas beberapa kali berkelana, termasuk menyertai Otelul Galati di Romania, Bokhashvili masih beraksi di Indonesia bersama Persikas Subang yang berada di divisyen kedua Indonesia.
3. Makan Konate
Situasi berbeza dapat disaksikan dalam Terengganu FC ketika ini kerana beberapa musim dahulu, mereka amat mempercayai sentuhan awang import yang memiliki kelebihan dari segi fizikal.
Antara yang pernah diberikan kepercayaan itu ialah pemain tengah dari Mali, Makan Konate yang mencuri perhatian pihak pengurusan kelab Pantai Timur itu selepas bermusim-musim beraksi di Indonesia.
Menyedari perkara itu, skuad Sang Penyu bertindak menyambar perancang tersebut pada 2020 dengan harapan barisan tengah semakin rancak dengan kebolehannya mencipta serangan mahupun menyudahkan setiap peluang diberikan.
Konate gagal mengulangi rentak cemerlang di Indonesia ketika bersama skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Bagaimanapun, sepanjang tempoh terbabit, Konate hanya mencetak satu gol dan enam bantuan jaringan dalam 20 penampilan Liga Super yang merupakan pulangan kurang memuaskan buat penyokong.
Jadi, pada penghujung musim 2021, Terengganu FC melepaskan pemain tersebut dengan kelab Indonesia, Persija Jakarta segera menawarkan kontrak kepadanya dengan keputusan itu membuahkan hasil lumayan.
Sejak itu, Konate kekal di negara tersebut dengan beberapa pasukan sempat diwakilinya sebelum menyertai Adhyaksa FC di divisyen kedua musim ini meskipun usianya sudah mencecah 33 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram