Perak FC kurang ‘umph’ tapi Yusri Che Lah tidak takut ketengahkan pemain muda


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Ahad, 01 Dis 2024

Yusri tiada masalah dalam memberikan pemain muda tempat dalam skuad TBG.

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

SEJURUS melepasi halangan pusingan 16 terakhir Piala Malaysia, Yusri Che Lah harus terbayangkan kemaraan ke separuh akhir seperti musim lalu tapi dia enggan membicarakannya pada waktu ini – masih terlalu awal dan ada halangan besar yang perlu ditempuhi.

Menyingkirkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-1 (gol Clayton da Silveira m-9, Wan Zack Haikal Wan Noor m-36 dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin m-60) dalam aksi timbal balik di Stadium Manjung malam tadi untuk kemenangan agregat 6-1 dan menempah tempat dalam suku akhir, Yusri tidak mahu membincangkan lebih jauh daripada itu.

Ditanya sama ada Selangor FC atau Sri Pahang FC yang diharapkannya jadi lawan berikut, jurulatih berusia 48 itu mengungkapkan: “Kedua-duanya pasukan yang kuat bagi kami. Kami faham dan kami tahu dan apa yang pasti kami akan cuba sebaik mungkin menempatkan pasukan Perak di tempat yang terbaik.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Terima kasih buat segalanya', import Perak sah tinggalkan TBG

BACA LAGI: 'Makin mantap', import Brazil Perak dipuji pamer kebangkitan bantu benam KDN

“Sekali lagi Piala Malaysia menyajikan sesuatu yang amat berprestij kepada semua. Jadi, kita akan usaha sebaik mungkin untuk tidak membenarkan mana-mana pasukan ataupun memberi jalan mudah kepada mereka.”

Musim lalu, Perak FC mengejutkan ramai dengan menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam pusingan 16 terakhir – menang 3-1 di laman sendiri tapi tewas 1-2 di tempat lawan untuk meraih kemenangan agregat 4-3.

Seterusnya, skuad The Bos Gaurus (TBG) itu seri 2-2 dengan Sabah FC di tempat lawan dan menang 1-0 di tempat sendiri dalam suku akhir untuk mara dengan agregat 3-2.

Kemaraan mereka ke separuh akhir bagaimanapun tersekat oleh kekalahan 1-4 di tempat sendiri kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan tewas lagi 1-8 dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk agregat 2-12.

Dalam keadaan pasukan yang terumbang-ambing dalam liga ketika itu, kejayaan Perak FC mara sejauh separuh akhir rata-rata dianggap membanggakan – hingga memberikan Yusri lanjutan kontrak apabila perjanjian asalnya luput.

Jurulatih itu turut berpesan kepada pemain-pemainnya agar tidak membenarkan kejayaan menyingkirkan KDN FC daripada melalaikan mereka terhadap cabaran getir yang menanti sepanjang bulan Disember.

468752833_586146003965779_4009155280473376158_n

Ariff Ar-Rasyid antara nama diberikan peluang beraksi oleh Yusri.

“Kepada pemain-pemain perlu kita lihat Disember menanti. Ada satu jadual yang agak padat dengan pasukan yang kita temu lebih baik daripada kita,” katanya merujuk kepada bersambungnya aksi liga untuk mereka berdepan dengan KDA FC pada 4 Disember dan Selangor FC pada 17 Disember – kedua-duanya di Stadium Manjung.

Di antara dua perlawanan itu pula, akan berlangsung suku akhir pertama Piala Malaysia pada 12 atau 13 Disember manakala aksi timbal baliknya pada 21 Disember – memberikan Perak FC sejumlah empat perlawanan sepanjang bulan ini.

Kemenangan 3-1 malam tadi diakuinya masih mendedahkan kelompangan dalam pasukan dan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki terutama dari segi bertahan.

Pemain-pemain, tambahnya, harus ambil iktibar kerana banyak yang perlu mereka belajar di samping memikirkan apa yang harus dilakukan dalam perlawanan seterusnya.

“Walaupun kita menang, mungkin corak permainan agak kurang... kita kena terima kita kurang. Kalau bercakap pasal ‘umph’ itu agak kuranglah.

“Dengan kita beraksi di gelanggang sendiri semalam, tidak sepatutnya menjadi satu perkara atau alasan kita (tidak) memperagakan aksi yang lebih baik.

“Sungguhpun begitu, tahniah kepada pemain-pemain, mereka melepaskan diri daripada pusingan 16 dan masuk ke suku akhir,” katanya.

468832918_586150193965360_6861873840676240018_n

Afif Asyraf turut mendapat minit bermain bersama Perak.

Mengakui masih berasa kehilangan kapten, Luciano Guaycochea, yang mungkin tersisih hingga enam minggu kerana kecederaan pergelangan kaki, Yusri bagaimanapun boleh berasa sedikit lega dengan kembalinya bek tengah, Luiz Motta, dalam aksi malam tadi di samping penyerang, Luka Milunovic, dijangka menyusuli dalam perlawanan berikut.

“Kehilangan Luciano amat-amat saya rasai. Motta baru dalam 20 minit terakhir tadi berpeluang merasa perlawanan setelah hampir tiga bulan atau empat bulan tidak beraksi. Kemungkinan besar juga kita dapat kembali Luka setelah dua perlawanan terdahulu dia tidak bersama pasukan kerana kecederaan,” katanya.

Penghargaan khusus turut dirakamkannya terhadap pemain utiliti, Ariff Ar-Rasyid Ariffin, yang menjaringkan gol ketiga Perak FC dengan menyudahkan hantaran lintang Clayton pada minit ke-60.

“Lama saya menanti kembalinya beliau setelah mengalami kecederaan setelah dilihat dalam perlawanan terakhir menentang Sri Pahang (28 September).

“Malam ini saya meletakkan Ar-Rasyid di barisan pemain utama dan dia membalas kepercayaan saya walaupun belum permainan beliau yang terbaik. Tapi saya dapat melihat pengalaman beliau. Apa yang beliau tampilkan 90 minit malam ini dengan satu jaringan bagi saya amat berpuas hati,” katanya.

Yusri memang diketahui tidak lokek memberi tempat kepada pemain muda, dengan perlawanan menentang KDN FC pada 22 November lalu menyaksikan jurulatih itu menampilkan pemain tengah, Daniel Hakimi Ahmad Azmil, 19, yang turut menjaringkan satu sepakan penalti.

Azfar Fikri Azhar, 24, juga semakin kerap mendapat tempat dengan melakukan 13 penampilan dalam liga musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram