KEBELAKANGAN ini, pendedahan mengenai pemain warisan yang dicanang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia semakin mendapat sorotan susulan ia seolah-olah memalukan nama negara di persada dunia.
Masakan tidak, pendedahan berkenaan seperti menconteng arang di muka sendiri apabila pemain yang dikejar-kejar untuk mewakili skuad kebangsaan hakikatnya tidak mempunyai langsung kaitan dengan Malaysia.
Pendedahan pertama bermula apabila tonggak tengah Newcastle United, Isaac Hayden tampil menafikannya pada Disember lepas dan berharap agar khabar angin seperti itu dapat dihentikan dan tidak perlu disebutkan lagi di masa hadapan.
BACA LAGI: Lupakan Josh Brownhill, 3 warisan gred B termasuk 'keeper' muda JDT layak jadi pilihan Cklamovski
BACA LAGI: 'Saya bukan warganegara Malaysia', kapten Burnley nafi sertai Harimau Malaya
Tidak lama selepas itu, kapten skuad Burnley yang beraksi di Liga Kejuaraan England, Josh Brownhill menjelaskan dirinya hanya berbangsa Inggeris dan tiada sebarang pertalian darah dengan rakyat Malaysia.
Terbaharu kebenaran mengenai pemain skuad muda PSV Eindhoven iaitu Iggy Houben pula didedahkan apabila ibunya mendedahkan bahawa keluarganya hanya mempunyai darah Belanda.
Menjengah komen di ruangan media sosial, ramai memberi maklum balas mengenai pengakuan tiga pemain berkenaan. Ada juga menganggap tiga pemain yang dicanang itu sebenarnya tidak mahu mewakili Malaysia sekali pun mempunyai pertalian darah.
Kenyataan rasmi yang dimuat naik Josh tentang khabar angin tersebut.
"Rasanya, Josh ini kalau ada darah Malaysia pun fikir berkali-kali nak sertai. Dengan prestasi Harimau Malaya yang agak tidak tentu hala, ranking pun jauh. Struktur baharu Harimau Malaya baru nak mula. Ketua pegawai eksekutif pun belum ada.
"Mungkin jika sudah ada tersusun dan ada perkembangan yang baik akan nampak warisan yang akan berminat nak sertainya. Sabar sahaja, biar TMJ dan pasukan uruskan. TMJ dah beritahu ambil masa untuk perkembangan Harimau Malaya," kata penyokong, Aduka.
"Malulah Malaysia. Satu dunia nampak. Laman pencari bakat tidak boleh dipercayai. Selepas ini, jangan harap ada pemain warisan. Malaysia tidak ramai pun pemain warisan di luar negara, pakai sahaja lokal," bagi penyokong skuad kebangsaan, Bon Bon.
Jimmy antara pemain yang mendapat peluang mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala AFF baru-baru ini. — Facebook/FAM
Situasi itu bukanlah tidak pernah terjadi kerana beberapa tahun lalu, Wan Kuzain Wan Kamal pernah bertindak menolak panggilan kebangsaan kerana dikhabarkan lebih mengutamakan saingan domestik di Amerika Syarikat.
Meskipun baru-baru ini difahamkan akhirnya bersedia menyarung jersi kebangsaan, sikapnya yang terdahulu itu masih tidak dapat dilupakan oleh penyokong tanah air.
Justeru itu, daripada terus mengharapkan pemain segera seperti tonggak warisan naturalisasi, adalah lebih baik skuad kebangsaan melabur wang kepada perkembangan bakat-bakat di peringkat akar umbi.
Pemain kelab St. Louis City SC 2, Amerika Syarikat, Wan Kuzain. — Agensi
Bukannya Malaysia kini sudah kehilangan pemain. Ia terbukti pada Piala AFF baru-baru ini pemain seperti Jimmy Raymond, Fazrul Amir dan Najmudin Akmal membuktikan kualiti mereka setaraf pemain utama Harimau Malaya.
Bukan itu sahaja, pemain yang lahir dari sistem bola sepak Malaysia juga lebih ikhlas untuk mewakili skuad kebangsaan dan sentiasa akan melebihkan tugasan negara berbanding kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram