Tanpa Suhaimi, sukar Terengganu buat kejutan ke atas JDT


  • Podium
  • Isnin, 30 Dis 2024

Tempoh pemulihan Suhaimi dijangka bakal mengambil masa sekitar empat hingga enam bulan. — Facebook/TFC

MEMASUKI tahun baharu, Terengganu FC (TFC) dilihat bakal melalui fasa mencabar pada permulaan 2025 apabila bakal menghadapi tujuh perlawanan dalam tiga saingan berbeza iaitu aksi Piala Shopee, separuh akhir Piala Malaysia dan Liga Super.

Jadual padat yang cukup menyesakkan dada barisan pemain dan kejurulatihan Sang Penyu itu bertambah perit apabila Terengganu terpaksa melupakan khidmat penjaga gol utama mereka, Suhaimi Husin.

Dalam satu kenyataan, skuad Sang Penyu telah memaklumkan bahawa Suhaimi mengalami kecederaan serius di bahagian lutut kanan dan telah selamat menjalani pembedahan. Tempoh pemulihan dijangka bakal mengambil masa sekitar empat hingga enam bulan.

BACA LAGI: Lama tak turun beraksi, Akhyar Rashid 'pecah lubang', penjaga gol Sang Penyu rupanya terlantar di hospital

BACA LAGI: Berkat prestasi cemerlang, Suhaimi Husin terima seruan KPG sertai Harimau Malaya

Melalui imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), penjaga gol berusia 30 tahun itu disahkan mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) dan Medial Meniscus Tear pada lutut kanan.

Suhaimi yang sudah tampil dalam 11 perlawanan termasuk dua aksi Piala Shopee itu merupakan watak penting dalam memastikan Terengganu meraih kemenangan dan menjadi pasukan ketiga kurang dibolosi dalam Liga Super musim ini.

Oleh itu ramai berpendapat termasuk jurulatih legenda Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim yang berpendapat bahawa persiapan skuad Sang Penyu akan terjejas sedikit dengan kehilangan Suhaimi.

Irfan Bakti juga khuatir ia akan menganggu persiapan Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi aksi separuh akhir dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 17 Januari depan akan menjadi venue pertama.

"Kalau ada Suhaimi itu nak memperoleh kemenangan ke atas JDT bukan mudah, ini pula nak tanpa penjaga gol utama. Walau macam mana pun memang persiapan Terengganu akan terjejas.

"Namun perlu ingat apa-apa sahaja boleh berlaku meskipun kita menyedari bahawa JDT adalah pasukan favourite untuk layak ke peringkat final Piala Malaysia," katanya kepada Majoriti.

Ditanya jika perlu memilih antara Syed Nasrulhaq Syed Bidin atau Rahadiazli Rahalim untuk menggantikan posisi Suhaimi, jurulatih yang memberi trofi Piala FA 2011 kepada TFC itu enggan memberi pilihannya.

Menurut jurulatih berusia 73 tahun berkenaan, Badrul Afzan Razali selaku pengendali sementara berhak menurunkan pemilihannya selepas menilai mereka di sesi latihan skuad Sang Penyu.

12345

Sebelum prestasinya merudum, Rahadi sebelumnya pernah menjadi penjaga gol nombor satu TFC. — Facebook/TFC

"Kita perlu tengok semasa latihan nantilah. Maksudnya latihan yang akan tentukan siapa yang layak untuk diturunkan. Pasti akan ada seseorang yang layak menjadi penjaga gol nombor satu," jelasnya.

Selain posisi penjaga gol, Irfan Bakri turut menyuarakan kebimbangannya mengenai benteng pertahanan Terenggganu yang dilihat mudah longgar dan membiarkan pasukan lawan mencetak gol dengan mudah.

"Itu satu apa yang saya nampak kelemahan daripada pertahanan tengah TFC. Mereka banyak gunakan pemain lokal. Memang berat sikit untuk menampung pemain-pemain JDT nanti. Macam mana pun, siapa yang diturunkan perlu all out kalau nak menang," jelasnya.

Selepas berkunjung ke Gong Badak, perlawanan timbal balik kedua pula menyaksikan Sang Penyu bimbingan Badrul Afzan akan melakukan kunjungan ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam perlawanan yang bermula jam 5.30 petang pada 1 Februari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram