Ivan Mamut sah kembali ke TFC Januari depan tapi Badrul Afzan risau bintang Croatia perlu lebih masa


  • Podium
  • Jumaat, 27 Dis 2024

Mamut akan kembali ke pangkuan Terengganu selepas setahun berehat panjang.

KETUA jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali, mengakui tugas sukar menanti pasukannya berikutan jadual padat yang bakal dihadapi bermula awal tahun depan.

Skuad Peteh dijadualkan berdepan tiga kelab gergasi dalam dua kejohanan berbeza, bermula dengan aksi di peringkat Kumpulan A Shopee Cup bertemu wakil Myanmar, Shan United, di tempat lawan 8 Januari sebelum kembali ke Gong Badak berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia, 17 Januari depan.

Berselang lima hari kemudian, Sang Penyu menanti kunjungan PSM Makassar untuk perlawanan keempat Shopee Cup pada 22 Januari.

BACA LAGI: 'Ada yang tak tahu Malaysia di mana', TMJ dedah usaha scout pemain warisan sensasi tiada pertalian darah

BACA LAGI: 'Bukan doktor yang tiada pencapaian', TMJ beri nafas baharu dalam sistem perubatan Harimau Malaya

Menerusi laporan Stadium Astro, pengendali berusia 48 tahun itu bagaimanapun percaya 24 pemain yang ada dalam skuadnya ketika ini mampu untuk tampil sehabis baik bagi membawa Terengganu mara jauh dalam setiap kejohanan yang disertai.

"Kami akan menghadapi saingan yang sukar bermula Januari depan sampai hujung musim.

"Kami belum memenangi sebarang perlawanan dalam Shopee Cup selepas seri sekali dan kalah sekali.

"Saya mahukan kemenangan ke atas Shan United," katanya di Nadi Arena pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama dia turut mengesahkan penyerang import kelahiran Croatia, Ivan Mamut, akan kembali menyertai pasukan pada bulan depan berikutan sembuh daripada kecederaan tumit.

"Saya mengharapkan dia bersedia terutama dalam latihan.

"Walaupun lama tidak tengok dia, saya harap dia dapat sertai latihan walaupun keadaannya tidak begitu baik.

"Kami perlu tengok dulu adakah dia sudah bersedia ataupun tidak. Hampir setahun dia tidak bermain. Kerisauan saya adalah kalau dia tidak jadi, dia masih (perlu) jalani pemulihan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram