[VIDEO] Penganjur tarian mencolok mata di Tanah Merah mohon maaf, dikompaun RM10,000 — Exco Kelantan


  • Primer
  • Rabu, 25 Dis 2024

Tular video di media sosial yang memaparkan seorang wanita sedang memperagakan tarian gelek serta berpakaian seksi di sebuah majlis makan malam di Tanah Merah.

PENGANJUR majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan yang didakwa menyediakan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah, Kelantan pada Sabtu dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), lapor Buletin TV3.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, kompaun berkenaan dikenakan mengikut Seksyen 6 Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Hilmi berkata, kompaun terbabit sudah dibayar kepada pihak MDTM pada Selasa dengan pihak penganjur juga sudah membuat permohonan maaf atas pelanggaran berkenaan.

BACA LAGI: Rugi cecah RM700,000, rakyat Malaysia ancam boikot konsert Jakarta, serik diperas ugut polis korupsi Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] Polis cekup 2 'hooligan' bola sepak cetus kekecohan di stesen LRT Bandar Tasik Selatan

“Pihak penganjur juga telah menghantar surat permohonan maaf kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) atas pelanggaran terbabit.

“Penganjur turut menandatangani satu aku janji dengan PBT dan bersetuju untuk merujuk pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum mengadakan acara pada masa depan,” katanya.

Hilmi memaklumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, denda bagi kesalahan seumpama itu akan meningkat kepada RM50,000 selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2024 yang memperkenalkan peraturan serta pelesenan lebih ketat.

Dia sekali gus mengingatkan individu atau syarikat yang mahu menganjurkan acara hiburan, supaya mengemukakan permohonan lebih awal bagi memudahkan proses semakan dan mengelak sebarang pelanggaran peraturan.

Sebelum ini, tular video di media sosial seperti TikTok berdurasi 31 saat yang memaparkan seorang wanita sedang memperagakan tarian gelek serta berpakaian seksi di sebuah majlis makan malam di Tanah Merah pada Sabtu lepas.

Setelah itu, Hilmi memberitahau siasatan awal mendapati penganjur tidak pernah memohon untuk menganjurkan majlis itu dan pihak sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang dijadikan sebagai lokasi penganjuran turut disiasat.

Difahamkan bahawa kebanyakan hadirin pada majlis itu adalah pelombong daripada Tanah Besar China yang bekerja di kawasan perlombongan emas Sokor di Tanah Merah, bersama kakitangan syarikat dan tetamu lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram