ISU keganasan dalam landskap bola sepak amatur masih berlaku meskipun terdapat pelbagai usaha untuk memastikan perkara sebegitu tidak berulang kerana khuatir ia hanya akan mencalarkan reputasi sukan tersebut.
Insiden sedemikian kerap berlaku disebabkan kegagalan pemain mengawal emosi sehingga berlakunya percakaran yang hanya merugikan, lebih-lebih lagi sekiranya ada campur tangan daripada pihak berkuasa.
Baru-baru ini, kejadian tersebut tercetus dalam pertembungan separuh akhir Arena Champion League yang menyaksikan pertemuan antara Budiman FC dan Amna FC di Arena Mutiara Dato Onn, Johor pada Selasa.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah macam Halim Napi', kelakuan 'keeper' liga sosial Pahang bikin fans bengang
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 3-2 buat Amna FC selepas mereka dihadiahkan sepakan penalti pada babak kedua untuk memastikan kemaraan ke pentas akhir kelak.
Namun, aksi berkenaan dicemari kontroversi selepas pemain Budiman FC kelihatan menumbuk pihak lawan pada minit ke-58 permainan selepas dia kehilangan bola atas kesilapannya sendiri.
Perkara itu tular di media sosial selepas pelaku yang memakai jersi no 23 melepaskan tumbukan ke arah muka pemain Amna FC dengan kekasarannya itu pada awalnya hanya diberikan layangan kad kuning.
Bagaimanapun, selepas menerima nasihat daripada salah seorang penjaga garisan, pengadil kemudian menarik semula keputusan tersebut sebelum memberikan kad merah terhadap pemain terbabit.
Tindakan pemain Budiman FC itu sememangnya tidak boleh diterima kerana orang ramai berasakan kelakuan sebegitu tidak sepatutnya dipamerkan di atas padang, baik dalam aksi profesional mahupun amatur.
Ini merupakan kali kedua pasukan berkenaan terlibat dalam kontroversi kerana pada November lalu, salah seorang pemainnya melakukan aksi kung fu ketika cuba merebut bola daripada pihak lawan.
Kekasaran berlebihan itu meninggalkan kesan hebat, terutamanya terhadap mangsa kerana dalam sekeping foto tular, kelihatan parut di dada pemain tersebut kerana terkena tapak kasut bola sepak berkenaan.
Meskipun tidak mencetuskan pergaduhan lebih teruk, laporan perlu dibuat untuk memastikan pihak pengurusan Budiman FC lebih cakna mengenai tahap emosi setiap pemain yang diturunkan.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak polis Johor atau kedua-dua pasukan dengan orang ramai berharap tindakan lebih tegas diberikan penganjur Arena Champion League bagi mengelak isu sama berulang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram