MARCUS Rashford diketepikan daripada skuad Manchester United untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth pada Ahad.
Ia merupakan perlawanan ketiga berturut-turut Rashford tidak disenaraikan oleh pengendali Manchester United, Ruben Amorim, berikutan desas-desus mengenai masa depannya di kelab.
Penyerang berusia 27 tahun itu nampaknya kehilangan tempat selepas bergelut untuk kembali ke prestasi terbaiknya yang menyaksikannya menjaringkan 30 gol dalam semua pertandingan pada musim 2022/2023.
BACA LAGI: Menang bergaya ke semifinal, fans Gergasi Merah masih belum maafkan Ronnie
BACA LAGI: Tiga gol bantu Sang Kenari ke semifinals, fans Hijau Kuning gembira bakat muda KDA terus bersinar
Manchester United tewas 0-3 kepada Bournemouth pada Ahad. — Facebook/Manchesterunited
Amorim berkata, pasukannya lebih baik dengan Rashford namun dia menegaskan bahawa akan menetapkan standard tinggi untuk pemain, terutamanya dari segi kelakuan semasa latihan dan interaksi dengan rakan sepasukan.
"Rashford tidak disenaraikan lagi? Itu keputusan saya, dan ia akan sentiasa begitu.
"Saya mahu melihat yang terbaik daripada pemain saya, dan saya akan mencuba pendekatan berbeza dengan pemain yang berbeza, itu tumpuan saya," katanya.
Amorim sebelum ini tidak menyenaraikan Rashford dan Alejandro Garnacho daripada skuadnya untuk kemenangan derby 2-1 ke atas Manchester City minggu lepas.
Dua hari kemudian, Rashford mendedahakan dalam temubual bahawa dia bersedia untuk cabaran baru di luar kelab.
Walaupun Rashford telah menjaringkan tiga gol sejak Amorim mengambil alih sebulan lalu, dia dikeluarkan pada minit ke-56 dalam kemenangan 2-1 ke atas Viktoria Plzen pada 12 Disember dalam Liga Europa.
Amorim berkata, dia ingin membantu Rashford mendapatkan semula prestasi terbaiknya, tetapi pemain itu perlu inginkannya terlebih dahulu.
Bekas pertahanan Manchester United, Gary Neville berkata, dia tidak yakin sekiranya Rashford akan kekal lama di kelab itu.
"Saya rasa ia semakin hampir ke penghujung yang tidak dapat dielakkan di mana dia akan meninggalkan kelab," kata Neville.
Rashford juga terlepas kekalahan 3-4 dalam perlawanan suku akhir Piala EFL menentang Tottenham Hotspur pada Khamis. — The Star/LORI EWING
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram