Tidak pernah hantar surat, Kedah nafi tarik diri dari Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 19 Dis 2024

KDA FC sebelum ini didakwa akan menarik diri daripada bertanding dalam saingan Liga Super. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC tampil menafikan khabar angin mengenai dakwaan menyatakan skuad Hijau Kuning bakal menarik diri daripada menyertai saingan Liga Super pada musim depan.

Menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan kelab itu juga menyangkal dakwaan mereka bakal bersaing dalam saingan separuh profesional negara iaitu Liga A1 Semi-Pro di bawah kendalian Amateur Football League (AFL).

Selain itu, pihak pengurusan kelab juga memohon agar tiada mana-mana pihak yang membuat berita palsu menggunakan nama kelab kerana ia hanya akan mencipta persepsi negatif terhadap KDA FC.

BACA LAGI: 'Segar dari ladang', Kedah bakal dapat penaja baharu?

BACA LAGI: 'See you in court', DSAT mahu saman MB Kedah RM1 bilion?

"Pihak pengurusan kelab memohon agar pihak yang telah menyebarkan maklumat palsu tersebut supaya memohon maaf kerana ia telah menjatuhkan reputasi kelab.

"Semua pihak, termasuk media semasa atau pihak wartawan agar lebih sensitif dalam memberi kenyataan supaya tidak cenderung ke arah menyebarkan maklumat palsu dan mencipta persepsi yang tidak baik kepada kelab," kata KDA FC dalam satu kenyataan.

Terdahulu, skuad Hijau Kuning dikhabarkan bersedia untuk turun liga dengan bermain di saingan Liga A1 Semi-Pro kerana kedudukan kewangan kelab yang meruncing hingga mereka sering terlibat dalam isu tunggakan gaji.

Kedah seperti yang diketahui ramai, mengalami masalah gaji begitu teruk hingga ada beberapa pemain meninggalkan kelab serta berlakunya tindakan boikot latihan oleh skuad Sang Kenari.

Dengan penafian itu, pengurusan KDA FC pastinya sedang mencari jalan untuk membebaskan Kedah dari masalah kewangan. Ia juga seolah-olah memberi petunjuk terdapat entiti baharu yang dipercayai berminat untuk menaja skuad Sang Kenari.

Sebelum ini Majoriti melaporkan, sebuah syarikat dipercayai terlibat dalam industri perladangan berminat untuk menghulurkan bantuan bagi membantu pasukan Hijau Kuning. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram