Kedah-Penang sedang bergelut, Raja Utara milik siapa?


  • Podium
  • Rabu, 18 Dis 2024

Sang Kenari berdepan cabaran sengit apabila akan bertemu Penang FC di gelanggang sendiri pada Rabu. — Facebook/KDAFC

PERTEMBUNGAN derbi Utara antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC sentiasa menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan dengan perseteruan yang sudah lama bermula.

Menjelang aksi Liga Super antara Sang Kenari dan Harimau Kumbang yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Rabu, kedua-dua pasukan dilihat sedang dalam prestasi terbaik ketika ini.

Sang Kenari pastinya enggan mengambil mudah saingan Liga Super itu meskipun sebelum ini menundukkan wakil kelab Liga A1 Semi Pro, Kuala Lumpur Rovers 3-0 aksi suku akhir MFL Challenge Cup pada Jumaat lalu.

BACA LAGI: Tak perlu pertikai rekod lama, Cklamovski perlu cepat buat kerja, faham budaya Harimau Malaya

BACA LAGI: Kembali mantapkan Sri Pahang, Stefano Brundo jadi sandaran Tok Gajah curi mata di SSI

Manakala, skuad yang dikendalikan oleh Penolong Ketua Jurulatih, Mat Saiful Mohamad itu pula mengaibkan Putrajaya Athletic di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dengan keputusan 4-0 dalam aksi suku akhir MFL Challenge Cup Selasa lalu.

Pastinya kedua-dua pasukan dijangka sudah cukup bersedia dan bersemangat untuk perlawanan terbabit.

Bagaimanapun, menjelang aksi yang penuh mendebarkan itu, terdapat beberapa sebab mengapa Sang Kenari mampu mengekalkan status sebagai Raja Utara.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 18.20.25

Penang FC terpaksa melupakan khidmat pemain tengah, Syamer Kutty yang mempunyai tugas bersama Harimau Malaya. Facebook/Penangfc

1. Penang hilang Syamer Kutty, Adib Ra'op

Skuad Harimau Kumbang dijangka kehilangan dua pemain utama mereka, Syamer Kutty Abba dan Adib Abdul Ra'op dalam perlawanan menentang Sang Kenari.

Khidmat pemain tengah, Syamer Kutty terpaksa dilupakan bagi memberi ruang kepada skuad kebangsaan bagi menghadapi kempen Kumpulan A Piala Asean 2024 bertemu Singapura pada Jumaat.

Kehilangan pemain berusia 27 tahun itu pastinya memberi impak besar kepada skuad Harimau Kumbang kerana merupakan pemain paling berpengalaman dan penting dalam barisan tengah Penang.

Manakala, bek kiri Penang, Adib Ra'op pula mengalami kecederaan di Stadium Rajamangala, Thailand akibat perlanggaran ketika membantu Harimau Malaya berdepan cabaran skuad Gajah Perang.

Kecederaan yang dialami oleh Adib Ra'op itu memerlukan dia menjalani pemeriksaan lanjut seperti yang dilaporkan oleh staf perubatan skuad kebangsaan.

Kehilangan kedua-dua pemain itu pastinya akan memberi kesan kepada strategi dan kekuatan pasukan Penang.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 18.20.25 (1)

Skuad Harimau Kumbang perlu menerima kenyataan kerana Sang Kenari memiliki pasukan yang lebih berkualiti menjelang aksi Derbi Utara. Facebook/Penangfc

2. Skuad Sang Kenari lebih berkualiti

Kedah memiliki skuad yang lebih seimbang dan berkualiti berbanding Penang iaitu mempunyai penyerang berbisa seperti Ebenezer Assifuah, Aiman Afif dan Milos Gordic.

Ketiga-tiga pemain tersebut dijangka diturunkan bagi membantu Sang Kenari meraih tiga mata di laman sendiri.

Ketajaman Assifuah dalam aksi sebelum ini pastinya ditagih oleh KDA FC untuk membantu memperbaiki kedudukan kelab dalam liga.

Selain bahagian serangan, KDA FC juga memiliki kelebihan di benteng pertahanan apabila dijangka akan mengekalkan khidmat bek tengah kelahiran Brazil, Cleylton, Irfan Zakaria dan Ariff Farhan untuk mengekang ancaman lawan dan melindungi benteng terakhir pasukan.

Jika melihat kepada dua rekod perlawanan KDA FC sebelum ini, pasukan Utara tanah air itu hanya bolos satu kali dalam pertemuan berdepan Perak FC pada 4 Disember lalu aksi Liga Super yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Oleh itu, KDA FC dilihat mempunyai peluang yang besar untuk meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri.

WhatsApp Image 2024-12-17 at 18.20.25 (3)

Sang Kenari menaruh harapan tinggi kepada Assifuah untuk membantu KDA FC meraih tiga mata penuh di laman sendiri. Facebook/KDAFC

3. Kelebihan laman sendiri

Bermain di laman sendiri memberi banyak kelebihan kepada KDA FC dalam perlawanan menentang Penang FC.

Sokongan daripada penyokong Jelapang Padi itu dijangka meningkatkan motivasi pemain dan KDA FC pastinya sudah terbiasa dengan keadaan padang dan cuaca yang sekali gus memberi mereka kelebihan berbanding pasukan pelawat.

Bermain di gelanggan sendiri juga memberi Kedah peluang menguasai permainan dan menyesuaikan taktik selain memiliki kelebihan psikologi, fizikal dan strategi untuk meraih kemenangan.

Bukan itu sahaja, dalam lima perlawanan terakhir di laman sendiri, KDA FC hanya tewas sekali, iaitu kepada Selangor FC dengan keputusan 0-1 dalam saingan Liga Super pada 2 Disember lalu.

Malah, kelebihan pastinya berpihak kepada Sang Kenari kerana dalam empat perlawanan terakhir menentang KDA FC dalam saingan liga domestik, Penang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan.

Dalam saingan Liga Super, Kedah menang 2-1 pada 22 Ogos 2023 dan 1-0 pada 22 Jun 2024, manakala dalam Piala Malaysia pula, Penang tewas 0-1 pada 28 Jun 2024 dan hanya mampu seri 0-0 pada 5 Julai 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram