HARIMAU Malaya mengalami kekalahan dalam kempen Piala AFF 2024 apabila tewas 0-1 kepada Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Walaupun beraksi dengan baik pada separuh masa pertama, gawang mereka akhirnya dibolosi pada minit ke-57 akibat kesilapan daripada penjaga gol, Haziq Nadzli.
Ini selepas pemain itu gagal menyedari kehadiran Suphanat Muaenta ketika melakukan hantaran dengan tonggak skuad Gajah Perang itu yang kemudiannya melorongkan bola kepada Patrik Gustavsson untuk gol tunggal perlawanan.
BACA LAGI: ‘Harap penalti saja’, bukan puji diberi tapi fans Sang Penyu pilih kritik ketajaman Bonilla
BACA LAGI: [VIDEO] 'Dah macam pemain Thailand’, Orang Asli tunjuk bakat boleh ganti 'killer' Pahang Mammoth
Kekalahan tersebut menambah kesulitan bagi Harimau Malaya, yang kini berdepan cabaran sukar untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Keputusan itu sememangnya sukar diterima memandangkan peminat skuad kebangsaan meletakkan harapan untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dari tempat lawan.
Lebih malang lagi, insiden tegang turut berlaku selepas perlawanan, apabila ratusan penyokong Malaysia yang hadir ke Stadium Rajamangla terkurung dan tidak dapat meninggalkan kawasan itu selama beberapa jam.
Ini selepas berlakunya kekecohan di luar stadium yang berpunca daripada ketengangan antara penyokong kedua-dua pasukan yang menyebabkan pihak keselamatan terpaksa campur tangan.
Dalam satu rakaman yang dimuat naik di Facebook, Semuanya Bola GROUP, peminat Harimau Malaya tidak dibenarkan meninggalkan tempat perlawanan apabila kelihatan sekumpulan penyokong Thailand berada di luar pagar.
Pihak keselamatan memilih untuk menahan penyokong Harimau Malaya daripada meninggalkan kawasan stadium bagi mengelakkan sebarang pertembungan yang hanya akan mencetuskan situasi tidak diingini.
Walaupun tindakan itu diambil, kekecohan berterusan apabila objek asing dibaling antara satu sama lain dengan terdapat kecederaan berlaku, namun tiada hal serius dilaporkan setakat ini.
Perkara itu turut dimuat naik wartawan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam yang melaporkan isu berkenaan di laman X peribadinya selepas aksi itu ditamatkan.
"Penyokong Harimau Malaya ‘sangkut’ dalam stadium, difahamkan mereka diserang penyokong lawan sejurus perlawanan," katanya.
Setakat ini, badan induk bola sepak kedua-dua negara masih belum mengeluarkan kenyataan dengan hal tersebut masih ditunggu-tunggu kerana isu berkenaan tidak sepatutnya berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram