
KEPUTUSAN Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat membuka peluang untuk wajah baharu memimpin sukan utama negara.
Sehingga kini, masih belum ada ura-ura siapakah yang bakal bertanding dengan ia hanya dapat diketahui pada Kongres FAM pada 2025.
Namun begitu, satu nama yang tidak akan jauh daripada jawatan tersebut pastinya pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
BACA LAGI: Selepas 6 tahun berkhidmat, Hamidin takkan pertahan jawatan Presiden FAM
Bagi pengulas bola sepak tempatan, Wan Khairil Azwa, dia melihat Tunku Ismail sebagai calon terbaik bagi mengemudi FAM buat kali kedua selepas menjadi presiden pada 2017.
Jika TMJ kembali ke jawatan tersebut, ia berpotensi membuka ruang kepada lembaran baharu yang lebih menarik buat bola sepak Malaysia.
"Saya tidak pasti, tapi antara nama-nama yang berkemungkinan besar melakukan kemunculan adalah kembalinya Tunku Ismail dalam penstrukturan semula FAM. Itu pasti menjadi perkara yang cukup dinantikan oleh penyokong dan saya turut berasakan perkara sama sebab kita nak tengok pembaharuan apa yang akan terjadi.
"Apa yang saya harapkan adalah perkara yang positif dan saya tidak menolak kemungkinan Tunku Ismail akan kembali menjadi Presiden FAM," kata Azwa kepada Majoriti.
TMJ (tengah) dilihat calon terbaik untuk mengisi kerusi Presiden FAM.
Harapan tinggi Azwa kepada presiden baharu FAM adalah kemampuan mengatasi masalah yang sudah membelenggu lama dalam bola sepak negara terutamanya peringkat akar umbi.
Tidak hanya tertumpu kepada melakukan keputusan populis seperti membawa bintang warisan atau naturalisasi ke dalam skuad kebangsaan, Presiden FAM perlu bijak mengatasi masalah pembangunan bola sepak di bahagian bawah.
"Pada saya yang paling penting adalah akar umbi, pembangunan menerusi liga-liga di bahagian bawah. Apa yang saya nampak, ia seperti ada tapi tidak ada. Maksudnya, ia tidak begitu menyeluruh.
"Bendanya sudah sedia ada, cuma perlu dikemaskan lagi oleh presiden akan datang. Saya cuma harap presiden seterusnya tidak hanya pandang keputusan-keputusan segara atau populis.
"Kita tahu presiden seterusnya akan cuba buat keputusan populis dan segera supaya mereka dapat sokongan penyokong. Dalam masa yang sama, kena fikirkan juga mengenai perkara yang jangka masa panjang. Dalam hal ini, ia berkaitan pembangunan bola sepak akar umbi," jelas Azwa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram