TUMPUAN penyokong badminton terarah kepada kejohanan penutup musim, Jelajah Dunia Akhir yang diadakan di Hangzhou, China.
Bintang-bintang Malaysia berusaha keras untuk membawa pulang kejuaraan yang sebelum ini pernah diraih oleh pemain handalan negara satu ketika dahulu.
Ketika ia masih dikenali sebagai Kejohanan Akhir Super Series, beberapa nama wira negara pernah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
BACA LAGI: Penaja mohon maaf isu bendera Malaysia terbalik di baju Lee Zii Jia
Datuk Lee Chong Wei
Salah satu nama yang membanggakan Malaysia di kejohanan penutup musim itu adalah tidak lain tidak bukan Datuk Lee Chong Wei.
Bekas pemain nombor satu dunia itu mempunyai rekod cukup baik buat mana-mana pemain Malaysia apabila merangkul pelbagai kejuaraan di kejohanan penutup musim sepanjang kariernya.
Chong Wei memenangi empat gelaran Jelajah Dunia Akhir.
Chong Wei memenangi empat gelaran Jelajah Dunia Akhir dengan tiga daripadanya adalah secara berturut-turut pada edisi 2008, 2009 dan 2010 sebelum melakukannya sekali lagi pada 2013.
Lebih menarik, tiga daripada kejuaraan itu diraih di Malaysia iaitu Kota Kinabalu (2008), Johor Bahru (2009) dan Kuala Lumpur (2013).
Datin Wong Mew Choo
Jika sang suami hebat, pasti isterinya juga handal di gelanggang. Selain Chong Wei, pasangannya iaitu Datin Wong Mew Choo turut mengharumkan nama negara di Jelajah Dunia Akhir.
Dianggap bintang perseorangan wanita ketika era bermainnya, Mew Choo tidak terlepas untuk menambah koleksi kejuaraan penutup musim dalam kariernya.
Mew Choo menjuarai gelaran Jelajah Dunia Akhir sekali dalam kariernya.
Mew Choo membawa pulang gelaran Jelajah Dunia Akhir pada edisi 2009 ketika ia diadakan di Johor Bahru. Ia merupakan satu-satunya gelaran Jelajah Dunia Akhir dimiliki Mew Choo.
Lebih menarik, Mew Choo melakukannya dengan bergaya apabila dia menewaskan pemain Jerman, Juliane Schenk, 21-15, 21-7 di perlawanan akhir.
Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong
Pasangan yang digelar "Beregu Emas" negara ini memulakan kecemerlangan beregu lelaki di Jelajah Dunia Akhir apabila meraih trofi kejuaraan pada 2008.
Ketika itu, Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong mencipta kejutan apabila berjaya memenangi trofi itu selepas diletakkan sebagai pilihan keenam daripada lapan gandingan seperti Markis Kido-Hendra Setiawan dan senegara Zakry Abdul Latif-Fairuzizuan Tazari.
Gandingan Kien Kiat-Boon Heong dianggap sebagai beregu emas negara satu ketika dahulu.
Namun begitu, mereka tampil sebagai juara apabila menewaskan pasangan Korea Selatan, Jung Jae-sung-Lee Yong-dae 21-18, 21-14 di perlawanan akhir.
Kecemerlangan Kien Kiat-Boon Heong membuka jalan untuk pasangan beregu lelaki negara memenangi gelaran serupa pada edisi seterusnya. Sebagai rekod, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengulangi kejayaan tersebut pada 2016. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram