Kebangkitan epik minit akhir berdepan Viktoria Plzen, aksi panas Hojlund-Amad-Rashford bikin bos Man United terfikir-fikir


  • Podium
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Hojlund (paling kanan) berang dengan tindakan Amad (tiada dalam gambar) yang menafikan peluangnya meraih hatrik.

PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menyambut baik kemenangan pasukannya ketika menewaskan Viktoria Plzen 2-1 dalam aksi Liga Europa awal pagi Jumaat.

Jaringan berganda daripada Rasmus Hojlund termasuk pada minit-minit akhir memastikan wakil England itu membawa pulang tiga mata dari tempat lawan untuk meneruskan perjuangan ke pusingan seterusnya.

Sambil menyambut baik kemenangan itu, Amorim turut dilihat gembira melihat para pemainnya mula menunjukkan emosi dan berjuang demi pasukan.

BACA LAGI: Man United sedia jual Rashford 'salin' skuad, peliknya Onana-Amad antara yang kekal di Old Trafford

BACA LAGI: Kelab Arab Saudi, PSG dipetik destinasi baharu Rashford andai dilepaskan Man United

Hal ini kerana, selepas perlawanan, Hojlund dilihat bertengkar dengan rakan sepasukan, Amad Diallo kerana penyerang Denmark itu tidak berpuas hati kerana dinafikan peluang menjaringkan hatrik.

Ia disebabkan Amad pada satu ketika tidak mahu menghantar bola kepada Hojlund yang sudah berada di ruang kosong, sebaliknya pemain itu melakukan gerakan solo dalam memburu gol.

Hojlund kemudiannya membalas semula perbuatan Amad apabila tidak menghantar bola kepadanya sewaktu satu lagi situasi serangan balas dimiliki oleh United.

Bagi Amorim, dia mengambil positif perkara tersebut dengan menganggap situasi tersebut sebagai "sempurna" buat pasukannya. Hal ini kerana, ia menunjukkan para pemainnya ambil berat mengenai kejayaan pasukan.

"Ya (saya ambil maklum perkara itu), dan pada saya ia adalah sempurna.

"Dalam situasi sebegini, anda perlu untuk berasa sesuatu. Jika kita perlu berjuang untuk sesama sendiri, ia seperti keluarga. Pada saya, ia adalah satu situasi yang sangat baik, kami perlu rasa sesuatu dan ia sangat penting.

"Ia adalah jelas, apabila anda tidak ambil peduli, anda tak akan buat apa-apa. Bila ambil peduli, anda akan berjuang bersama saudara anda, bapa anda, ibu anda. Ia adalah satu petanda baik buat saya," jelas Amorim.

Dalam pada itu, masa Marcus Rashford bersama United dilihat semakin suntuk selepas persembahannya tidak menerima 'restu' oleh Amorim.

Rashford bertuah apabila dia berjaya mengelak daripada dikenakan kad merah selepas melakukan terjahan keras kepada pemain lawan. Dia kemudiannya digantikan oleh Amorim pada separuh masa kedua.

Semasa digantikan, Amorim tidak mengendahkan Rashford. Sebagai perbandingan, Amorim bersalam dengan Tyrell Malacia dan Joshua Zirkzee semasa kedua-dua pemain itu ditukarkan.

Ia memberikan bayangan yang Rashford semakin hampir untuk meninggalkan United dengan jendela perpindahan Januari ini boleh menjadi penamat masa pemain itu di kelab tersebut.

Ketika aksi awal pagi Jumaat, Rashford juga dilihat sekadar tidak bersungguh-sungguh menghargai kehadiran peminat Man United ke stadium, selain dikesan sempat meludah ke padang sebelum beredar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram