TMJ calon sesuai Presiden FAM, kita perlu orang yang ada duit — Irfan Bakti


  • Podium
  • Khamis, 12 Dis 2024

Tunku Ismail individu paling tepat menggantikan Hamidin untuk duduk di kerusi no.1 badan induk bola sepak kebangsaan. — Facebook/FAM

ENAM tahun mengepalai bahtera Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin akhirnya mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada kongres akan datang.

Keputusan Hamidin itu membawa kepada satu perbincangan mengenai siapa individu sesuai untuk menggantikan posisinya dengan diharapkan calon-calon yang ada akan membawa perubahan positif untuk bola sepak negara.

Antara nama-nama disebut bakal menjadi 'nombor satu' di Kelana Jaya ialah Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

BACA LAGI: Kisah dah berubah, 3 sebab fans perlu yakin andai TMJ jadi Presiden FAM

BACA LAGI: Ejen Cristiano Ronaldo bakal adakan projek bersama TMJ, Erick Thohir?

Selain dua individu itu, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga dikatakan individu paling tepat untuk duduk di kerusi panas itu lagi-lagi selepas melihat kejayaannya membimbing Harimau Selatan selama 12 tahun.

Tidak dinafikan Tunku Ismail akan terlibat secara tidak langsung dalam revolusi Harimau Malaya nanti namun rata-rata penyokong lebih memasang impian supaya Pemangku Sultan Johor itu sekali lagi memegang jawatan Presiden FAM.

Tunku Ismail pernah menjadi Presiden FAM bagi penggal 2017/2021 sebelum beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya setahun kemudian.

Perkara itu juga dipersetujui oleh legenda jurulatih tanah air, Irfan Bakti Abu Salim yang menyatakan bahawa Tunku Ismail individu paling sempurna untuk mengemudi pentadbiran badan induk itu.

TMJ

Tunku Ismail membawa perubahan terhadap FAM meskipun hanya setahun menjadi presiden organisasi tersebut. — Facebook/FAM

"Sebab pertama beliau sudah membentuk satu pasukan yang sukses. Dan yang keduanya, TMJ pun sudah mula sempurna. Beliau sudah ada pengalaman dan dia tahu keadaan pentadbiran bola sepak.

"TMJ ini seorang yang baik walau nampak sahaja garang. Tidak ada masalah lah kalau TMJ mengendalikan Harimau Malaya. Tengok sekarang ini, pasukan beliau (Johor) sangat kuat sebab dijaga dengan baik," katanya kepada Majoriti.

Menurut Irfan Bakti, Tunku Ismail juga mempunyai sumber yang tidak terhad yakni kekayaan bagi membangunkan bola sepak susulan untuk dana besar diperlukan untuk membuat revolusi baharu.

erick

Presiden PSSI, Erick.

Misalnya, bola sepak Indonesia mula berubah ke arah yang lebih baik selepas Erick Thohir mengambil pemerintahan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sehingga lolos ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi nanti.

Selain itu, konglomerat itu juga merupakan watak utama yang berhasil mencari dan memujuk bakat warisan negara mereka seperti Rafael Struick dan Justin Hubner untuk menyarung jersi Sang Garuda.

"Kalau di Indonesia ada Erick Thohir, orang kaya raya pegang bola. Malaysia pula ada yang ada duit untuk bantu. Sebab bola ini memerlukan duit. Bola ini kena pandai cari duit, TMJ pandai buat perkara itu.

"Tidak ada orang yang lebih layak dari TMJ," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram