BEKAS paramedik Manchester City mengakui mencuri peralatan bernilai £75,000 (RM424,000) milik juara Liga Perdana Inggeris itu.
David McNally, 47, menjadi petugas perubatan pada hari perlawanan di Stadium Etihad selama empat tahun yang mana dia juga adalah anggota Perkhidmatan Ambulan North West (NWAS).
Namun sepanjang tempoh itu, McNally turut mengambil kesempatan mencuri beberapa peralatan milik City dan menjualnya di eBay.
BACA LAGI: [VIDEO] Bersama Peter Cklamovski, Harimau Malaya bakal terap taktikal bertahan?
Antara barang dicuri McNally termasuk kasut bola, peralatan perubatan, seluar trek dan kit berjenama dengan keuntungan diraihnya berjumlah £24,676 (RM139,755).
Dia mengakui kesalahannya ketika dihadapkan di Mahkamah Magistret semalam.
Pendakwa Steve Woodman berkata jumlah keseluruhan barang dicuri bernilai £100,000 (RM566,000) tetapi peguam paramedik terbabit Kirsty Cobe mendakwa barang yang dijual di dalam talian sekitar £75,000 (RM424,000).
"Ini jelas kesalahan pecah amanah dalam tempoh lama," kata Woodman kepada magistret.
"Pegawai keselamatan kelab berkata, antara barang yang dicurinya ialah alat mengurut, pad tekanan, lapan jersi ditandatangani bernilai £8,000 (RM45,000), sepanduk City yang digunakan di bilik persalinan ketika Liga Juara-Juara 2021/22 yang ditandatangani pasukan.
"Mereka hairan ke mana hilangnya barang-barang itu dan ia ditemui dirumahnya. Mereka turut menemui kasut bola milik Sergio Aguero dan Aymeric Laporte." — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram