Miliki infrastruktur, padang bola sepak terbaik di negara, Johor anjur bola sepak Sukan SEA 2027


  • Podium
  • Sabtu, 07 Dis 2024

Hannah menyifatkan Johor memiliki infrastruktur dan padang bola sepak terbaik di negara ini.

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) pada Sabtu (7 Disember) mengesahkan Johor akan menganjurkan Sukan SEA 2027 bersama-sama Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagaimanapun berkata, Johor hanya akan menganjurkan acara bola sepak seperti dipersetujui sebelum ini.

Menurut laporan Buletin TV3, Hannah menyifatkan Johor memiliki infrastruktur dan padang bola sepak terbaik di negara ini.

BACA LAGI: Ada pengalaman bersama FC Barcelona, kelab Liga Super wajar sambar khidmat Pau Marti

BACA LAGI: Pertukaran jurulatih ganggu 'momentum' Selangor FC — Nizaruddin

"Sekarang KBS dah dapat pengesahan untuk Johor menjadi hos bersama Sukan SEA 2027 bagi acara bola sepak, dan ini satu berita baik.

"Kalau bincang mengenai infrastruktur dan padang bola serta stadium, tiada yang boleh menandingi kehebatan Johor. Ini adalah peluang untuk kita pamerkan infrastruktur bola yang di Johor bagi peserta Sukan SEA," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program KBS Myladies Esports 2024.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, memberi perkenan penganjuran bersama acara bola sepak Sukan SEA 2027 di Johor.

Sementara itu, Hannah memaklumkan senarai negeri yang akan menjadi penganjur bersama sudah dimuktamadkan dan tiada penambahan selepas ini.

Beliau berkata, satu mesyuarat jawatankuasa penganjur bakal diadakan pada bulan depan untuk membincangkan berkenaan penganjuran Sukan SEA 2027.

"Dalam mesyuarat itu, kita akan bincangkan jenis sukan yang akan dipertandingkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah menyokong penganjuran program KBS Myladies Esports yang bakal menjadi platform untuk mencungkil bakat e-sukan dalam golongan wanita.

Beliau berharap program seperti ini dapat merapatkan jurang antara atlet e-sukan lelaki dan wanita yang masih kelihatan besar ketika ini.

"KBS akan terus menyokong program pembangunan seperti ini bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam arena e-sukan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sukan SEA 2027, Bola Sepak, TMJ, Johor, KBS