Cungkil 'hidden gem' Harimau Malaya, FAM rugi jika lepaskan Pau Marti


  • Podium
  • Jumaat, 06 Dis 2024

Pau Marti akan meninggalkan Harimau Malaya selepas tamat kejohanan Piala Asean 2024.

PAU Marti Vicente mengejutkan dunia bola sepak negara apabila mengesahkan kempen Piala Asean bermula 8 Disember ini hingga 5 Januari 2025 akan menjadi tugasan terakhirnya selaku ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

FAM dalam kenyataan rasmi di Facebook pada Khamis (5 Disember) memaklumkan keputusan berkenaan dibuat susulan perbincangan bersama badan induk itu berkaitan penstrukturan semula pengurusan pasukan kebangsaan.

Pau Marti turut memaklumkan keputusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan pasukan negara dan FAM akan melantik ketua jurulatih serta barisan kejurulatihan baharu bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula tahun depan.

BACA LAGI: Sentuhan JDT, DNA Amerika Latin dicanang-canang bakal kemudi Harimau Malaya

BACA LAGI: Ekor Harimau Malaya lebih realistik, cuma mahukan pemain beri aksi terbaik sepanjang Piala AFF 2024

Pau Marti dilantik secara rasmi mengendalikan skuad kebangsaan pada Ogos lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon.

Mengulas lanjut pemergian Pau Marti, pemerhati bola sepak, Afiq Rowley berpendapat FAM perlu menggunakan kepakaran jurulatih kelahiran Sepanyol itu demi kebaikan skuad kebangsaan.

"Mengenai keputusan Pau Marti tidak lagi bersama skuad kebangsaan, dia sepatutnya diberi peluang lagi untuk bersama Harimau Malaya. Walaupun bukan sebagai jurulatih utama mungkin FAM perlu gunakan kepakaran dia selaku pembantu jurulatih.

"Memandangkan dia pun dah tahu selok-belok dalam skuad kebangsaan sejak 2022, ia bukan waktu yang singkat dan tempoh itu agak lama dengan dia pun sudah kenal pemain serta corak permainan yang diperlukan oleh Harimau Malaya.

"Beberapa perlawanan ini dia bawa dengan baik, cuba main 'play safe' sebab kita tengok dia dapat pemain pun tak lengkap kerana ada yang tak boleh main dan cedera.

"Jadi pandangan saya, rugi kalau FAM sendiri melepaskan dia, lagipun kita tengok pengalaman dia dalam pembangunan bola sepak sebelum ini dengan Barcelona," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, Pau Marti juga berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam skuad kebangsaan dengan beberapa pemain yang sebelum ini tidak pernah beraksi buat Harimau Malaya.

"Mungkin FAM tak perlu letakkan dia dengan skuad utama, letak kepada skuad pembangunan ataupun mana-mana sahaja.

"Kita perlukan kepakaran dia untuk cungkil lebih banyak bakat-bakat muda. Tengok macam mana cara dia dapatkan 'hidden gem' seperti Fazrul Amir dan Harith Haikal sehingga boleh bermain baik di perlawanan antarabangsa ketika ini.

"Itu antara benda-benda yang bagus, sebab kita bukan kita tak mahu tengok muka-muka lama. Tapi beri peluang kepada muka-muka baharu yang layak mewakili Harimau Malaya," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram