SKUAD kebangsaan telah mendarat di bumi Phnom Penh pada Jumaat (6 Disember) bagi menghadapi aksi pertama Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric Asean 2024 (Piala AFF) menentang Kemboja di Stadium Olimpik pada Ahad (8 Disember).
Skuad Harimau Malaya bagi kejohanan kali ini tidak dapat membariskan pemain-pemain utama seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools, La'Vere Corbin-Ong dan beberapa tonggak lain kerana kelab mereka akan beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Ketua jurulatih 'interim' Harimau Malaya, Pau Marti Vicente pula membawa rata-ratanya pemain muda untuk membawa cabaran negara sekurang-kurangnya melepasi peringkat Kumpulan A Piala AFF yang dihuni dengan lawan seperti Kemboja, Singapura, Thailand dan Timor-Leste.
BACA LAGI: Pernah hadapi masalah DNA Jerman, pertemuan TMJ-RMS ubah prestasi Selangor FC
BACA LAGI: 'Insiden 'cabul' Arif Aiman kesalahan ganas', layangan 3 kad merah aksi JDT-Buriram tepat
Dengan skuad yang sedia ada tanpa tonggak utama, penyokong-penyokong Harimau Malaya juga realistik dengan pencapaian yang akan dicipta oleh anak-anak buah Pau Marti.
Penyokong juga tidak meletakkan harapan untuk menjuarai Piala AFF 2024 kerana umum mengetahui kualiti negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam kini berada di landasan terbaik.
Dalam ruangan komen media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), penyokong berharap pemain-pemain yang akan membawa nama Malaysia berikan persembahan terbaik dalam kejohanan kali ini.
"Saya tak berharap Harimau Malaya sampai ke pusingan akhir. Saya hanya berharap bermain bersungguh-sungguh demi masa depan Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang," kata Zamri Aminuddin.
"Ramai pemain-pemain baharu, persefahaman susah dibentuk dalam dua atau tiga hari. Memang tak harap boleh pergi jauh. Kemboja pun pakai enam pemain naturalisasi," jelas Jeff Az.
"Sekadar mencari pengalaman pasukan kali ini, tidak mengharap lebih," ujar Nizam Ali.
Sebelum ini, Pau Marti mengejutkan dunia bola sepak negara apabila mengesahkan kempen Piala AFF bermula 8 Disember ini hingga 5 Jan 2025 akan menjadi tugasan terakhirnya selaku ketua jurulatih Harimau Malaya.
Pau Marti turut memaklumkan keputusan itu adalah sebahagian daripada penstrukturan pasukan negara dan FAM akan melantik ketua jurulatih serta barisan kejurulatihan baharu bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula tahun depan.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu dilantik secara rasmi mengendalikan skuad kebangsaan pada Ogos lalu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pengendali dari Korea Selatan, Kim Pan-gon. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram