
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) dan Buriram United FC sama liat apabila kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati apabila berkongsi satu mata pada aksi Kumpulan Zon Timur saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Selasa.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor itu menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan keputusan 0-0 tersebut.
Bagaimanapun, pertembungan dua kelab terbaik Asia Tenggara itu dicemari dengan layangan dua kad merah pada babak pertama kepada Murilo Henrique dan Theerathon Bunmathan sebelum seorang lagi pemain JDT, Park Jun-heong menerima nasib sama di hujung permainan.
Namun, itu bukanlah kali pertama JDT menerima kad merah, kerana kejadian serupa pernah berlaku dalam aksi skuad Harimau Selatan di peringkat Asia sebelum ini.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga perlawanan yang kekal dalam ingatan penyokong Harimau Selatan.
JDT terpaksa akur akan kekuatan yang dimiliki oleh Persija Jakarta selepas tewas 0-4 dalam saingan Piala AFC 2018.
1. Adam Nor Azlin
Masih ingatkah anda insiden ketika bekas pemain pertahanan JDT, Adam Nor Azlin dilayangkan kad merah?.
Kejadian yang berlaku pada saingan Piala AFC 2018 itu menyaksikan skuad Harimau Selatan tewas 0-4 kepada Persija Jakarta dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Tonggak Tok Gajah itu menerima kad merah selepas melakukan pelanggaran keras terhadap pemain lawan.
Tindakan tersebut mengundang kontroversi dan menjadi peringatan bagi JDT untuk lebih berhati-hati dalam perlawanan antarabangsa.
Hasbullah Abu Bakar (depan,tengah) dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras kepada pemain lawan.
2. Hasbullah Abu Bakar
Perlawanan kedua peringkat kumpulan F Piala AFC 2017 menemukan JDT dan Magwe FC di Stadium Thuwunna Youth Training Centre, Yangon.
Skuad yang dikendalikan oleh Benjamin Mora ketika itu terpaksa berputih mata apabila pemain tengah JDT, Hasbullah Abu Bakar dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras kepada pemain lawan.
Keputusan pengadil ketika itu mencetuskan pelbagai reaksi dengan sesetengah penyokong berpendapat kad merah tersebut tidak patut dilayangkan.
Dalam aksi ketika itu, JDT sekadar berpuas hati dengan keputusan 1-1 meskipun beraksi dengan 10 pemain.
Tangkap layar menunjukkan Farizal (jersi hitam) gagal mengawal emosi dalam perlawanan bertemu Ceres Negros.
3. Farizal Marlias
Perlawanan pusingan kedua separuh akhir play-off zon ASEAN di Manila menyaksikan beberapa kesilapan penting menyebabkan JDT gagal melangkah ke peringkat seterusnya dalam Piala AFC 2017.
Dalam aksi tersebut, bekas pemain pertahanan JDT, Marcos Antonio gagal mengawal ketat pemain lawan yang menjaringkan gol pertama, manakala Aidil Zafuan melakukan kekasaran dalam kotak penalti yang membawa kepada gol kedua pasukan Ceres Negros.
Penjaga gol JDT, Farizal Marlias yang membenarkan sepakan penalti itu menembusi pintu gawang Harimau Selatan gagal mengawal emosinya dan bertindak menolak pengadil perlawanan.
Susulan itu, Farizal dilayangkan kad merah dan diarahkan untuk keluar dari padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram