JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) akan mengharungi cabaran sengit untuk berada di tempat kelapan terbaik Kumpulan B Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) bagi melayakkan diri dalam pusingan kalah mati pada Selasa (3 Disember).
Anak-anak buah Hector Bidalgio akan melayani kunjungan kelab gergasi Thailand, Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri untuk mengutip tiga mata berharga selepas tewas di tangan Shandong Taishan (China) 0-1 pada 26 November lalu.
Buriram United yang merupakan juara 10 kali Liga Thailand turut mengambil pendekatan menurunkan lebih ramai pemain import dalam saingan ACLE musim ini sama seperti Harimau Selatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bawa ramai pertahanan muda, fans mahu Pau Marti 'consider' 3 bek senior ke Piala AFF
Antara pemain termahal dimiliki Buriram United ialah Guilherme Bissoli yang ditandatangani pihak pengurusan kelab Thailand itu pada musim lalu.
Bersama Buriram United, Bissoli telah menjaringkan 30 gol dan lapan 'assist' dalam 39 penampilannya di setiap kejohanan disertai kelab Thailand itu.
Ini memberikan gambaran awal bahawa pemain berusia 26 tahun itu sangat berbahaya jika berada dalam zon kotak penalti lawan.
Musim ini, Bissoli terus cemerlang membantu Buriram United apabila tersenarai antara calon penjaring terbanyak Liga Thailand.
Walaupun baharu beraksi di Asia Tenggara, impak yang dibawa oleh Bissoli sangat besar sehingga berjaya membantu Buriram United menjuarai liga musim lepas.
Pemain kelahiran Brazil itu juga pernah beraksi bersama beberapa kelab gergasi Brazil apabila Sao Paulo antara kelab terawal pernah disertainya.
Bila melihat rekod pemain terkenal JDT, Jese Rodriguez belum mampu menyamai pencapaian Bissoli walaupun merupakan graduan Real Madrid semasa usia mudanya.
Selepas kira-kira dua bulan bersama kelab Selatan tanah air itu, Jese masih bergelut untuk membuktikan nilai sebenarnya dengan gol ketika berdepan KL Rovers dalam Piala Malaysia merupakan jaringan tunggalnya setakat ini.
Meskipun ramai beranggapan catatan itu akan terus ditambah baik, dia yang pernah satu ketika dilabel berkelas dunia sepatutnya tidak berdepan isu untuk menyesuaikan diri dalam pasukan.
Ini kerana pengalamannya beraksi di Eropah bersama skuad Los Blancos dan beberapa kelab lain seperti Paris Saint-Germain sememangnya diharapkan dapat membawa skuad Harimau Selatan ke tahap lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram