PENYERANG import Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Obregon kini mendapat kritikan menyeluruh daripada penyokong-penyokong Harimau Selatan selepas persembahannya di kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shandong Taishan pada 26 November lalu.
Peminat Harimau Selatan berpendapat kualiti Obregon masih belum menyamai pemain import sedia ada, Bergson da Silva meskipun umurnya lebih muda daripada bekas penjaring terbanyak Liga Super 2022 itu.
Pemain berusia 27 tahun itu kini sedang bergelut di saingan ACLE apabila hanya menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan bersama JDT.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Cuma tiada luck', Irfan Bakti yakin baki perlawanan ACL2 boleh bantu Selangor mara
BACA LAGI: JDT, Selangor FC kini 'bersaudara', miliki masalah sama di pentas Asia
Berbeza pula ceritanya di saingan Liga Super apabila Obregon telah menjaringkan tiga gol dan satu 'assist' dalam lima perlawanan.
Secara keseluruhan 10 penampilan, pemain kelahiran Colombia itu menghasilkan empat gol dan satu 'assist' di semua kejohanan domestik serta antarabangsa bersama JDT.
Jadi adakah Obregon calon sesuai untuk menggantikan Bergson di masa akan datang? Majoriti senaraikan rekod pemain kelahiran Colombia itu bersama kelab terdahulu.
1. Liga Colombia dan Peru
Obregon memulakan kariernya bersama Independiente Santa Fe sebelum berhijrah beraksi dengan beberapa kelab lain di negaranya itu.
Menurut data Transfermarkt, Obregon mempunyai peluang menunjukkan bakatnya ketika mewakili Jaguares de Cordoba apabila tampil dalam 14 perlawanan bersama kelab itu.
Walaupun tidak menjaringkan gol, bakat Obregon berjaya memikat hati pihak pengurusan kelab Peru, Deportivo Municipal untuk membawanya beraksi di negara itu.
Bersama Deportivo Municipal, Obregon telah menjaringkan dua gol dalam 16 penampilannya dengan pasukan itu.
2. Liga Croatia
Aksi bersama Deportivo Municipal membuka peluang untuk Obregon berkelana ke Eropah apabila kelab divisyen pertama Liga Croatia, NK Varazdin berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Bersama NK Varazdin, Obregon berjaya menjaringkan 11 gol dan empat 'assist' dalam 48 penampilannya dan ia merupakan rekod jaringan terbanyak pernah dilakukan pemain itu.
Cemerlang bersama NK Varazdin, HNK Rijeka telah menyunting Obregon untuk kekal beraksi di Croatia selama empat musim.
Obregon menjaringkan 17 dan 10 'assist' dalam 105 penampilannya bersama HNK Rijeka sebelum menyertai JDT pada perpindahan kedua Liga Super Ogos lalu.
Musim terakhir Obregon bersama HNK Rijeka, pemain berketinggian 1.82 meter itu lebih banyak bermula daripada bangku simpanan apabila 23 rekod dicatatkan.
Lapan kali sahaja Obregon terlibat dalam kesebelasan utama perlawanan Liga Croatia, ia sekali gus mengambarkan pemain itu pilihan kedua oleh barisan kejurulatihan.
Dalam 216 penampilan sepanjang kariernya, Obregon telah menjaringkan 37 gol dan 16 'assist' bersama lapan buah kelab termasuk JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram