Puas ledak gol berdepan Selangor, bekas penyerang Gergasi Merah tekad bawa Tok Gajah ke suku akhir Piala Malaysia


  • Podium
  • Rabu, 27 Nov 2024

Sean mahu membantu skuad Tok Gajah memastikan kemaraan dalam pertandingan berkenaan. — Facebook/Sri Pahang FC

KEPUTUSAN seri ketika menerima kunjungan Selangor FC di laman sendiri pada Sabtu lalu belum cukup untuk mengesahkan kemaraan Sri Pahang FC ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Mereka yang membuka jaringan menerusi tandukan Sean Selvaraj pada minit ke-27 gagal memanfaatkan kelebihan tersebut sehingga membolehkan pasukan pelawat mengikat kedudukan selepas Nikola Jambor meledak gol pertamanya pada babak kedua.

Kedudukan seri 1-1 itu kekal sehingga minit terakhir permainan dengan skuad Tok Gajah sudah tentu tertekan menjelang aksi timbal balik di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad ini.

BACA LAGI: Orozco boleh jadi masalah kepada Pahang — Sean Selvaraj

BACA LAGI: Hanya seri di Temerloh, kesungguhan Selangor, Sri Pahang beraksi 'dalam bendang' pula jadi perhatian

467756444_952680333560665_5770115132719923634_n

Sean mahu memanfaatkan segala peluang diberikan kepadanya dalam pasukan. — Facebook/Sri Pahang FC

Namun, cabaran itu mahu ditempuhi pasukan Pantai Timur berkenaan untuk memastikan kemaraan dengan Sean yang meledak di laman sendiri mahu terus membalas kepercayaan diberikan kepadanya.

Dia yang sebelum ini lebih kerap diletakkan di bangku simpanan mengakui berasa puas dengan gol tersebut, namun kecewa tidak mampu membantu Sri Pahang melakar kemenangan bermakna.

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk beraksi dalam keadaan sebegini. Tetapi, saya gembira kerana dapat meledak jaringan. Saya melihatnya sebagai motivasi untuk menjaringkan lebih banyak gol.

"Saya mahu terus mencetak jaringan kerana ini adalah saingan Piala Malaysia. Saya bekerja keras untuk diberikan peluang beraksi dan saya berjaya membalas kepercayaan itu," katanya.

468033995_18473148772031124_1554474820318247234_n

Fandi pasti akan memberi kepercayaan buat Sean dalam aksi timbal balik di Stadium MBPJ. — Facebook/Sri Pahang FC

Sejak menyertai skuad Tok Gajah pada awal musim, pemain berusia 28 tahun itu jarang diberikan minit permainan dengan hanya lapan penampilan direkodkan dalam kesemua pertandingan domestik.

Peluang terhad tersebut berpunca daripada kecenderungan pengendali pasukan, Fandi Ahmad untuk menurunkan gandingan Manuel Hidalgo dan Aleksandar Cvetkovic di posisi sayap serangan.

Meskipun Sean dahulunya memiliki reputasi cukup baik, kekurangan peluang beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan sentuhannya di atas padang semakin berkarat.

Bekas pemain Negeri Sembilan FC dan Selangor FC itu turut berharap jaringannya dapat menghadiahkan kemenangan buat Sri Pahang FC, namun yakin pasukannya mampu terus bangkit dalam aksi timbal balik.

"Kita sepatutnya menamatkan aksi dengan kemenangan 1-0, tetapi kini kedudukan sudah kembali terikat. Saya mahu memberikan impak lebih besar dan mahu membawa kita ke peringkat suku akhir," katanya lagi. — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram