POSISI Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sebagai penjaga gol utama Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin tergugat sejak kehadiran Andoni Zubiaurre yang sering ditugaskan untuk perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Penampilan pertama Zubiaurre ketika bertemu Shanghai Port dalam saingan ACLE menarik perhatian penyokong Harimau Selatan sehingga pemain berusia 27 tahun itu sering menjadi watak utama di pentas tertinggi Asia berkenaan.
Hal itu membuatkan Syihan Hazmi tidak lagi menjadi pilihan utama sehingga berdepan sedikit penurunan dari segi prestasi selepas dibolosi sebanyak enam kali dalam Liga Super 2024/2025.
BACA LAGI: Cerita berbeza JDT dan Selangor, Gergasi Merah pernah didenda ingkar arahan FAM
Meskipun catatan berkenaan lebih baik berbanding pasukan-pasukan lain, standard tinggi diletakkan skuad Harimau Selatan sudah tentu mengharapkan Syihan Hazmi untuk beraksi lebih baik.
Tetapi, kisah berbeza pula didengari apabila timbul khabar angin mengatakan pemain kebangsaan itu akan mencari angin baharu sekiranya tidak mendapat tempat kekal bersama Harimau Selatan.
Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga destinasi sesuai yang boleh menjadi pilihan Syihan Hazmi sekiranya tidak diikat Harimau Selatan selepas ini;
1) Terengganu FC
Rahadiazli kurang mendapat tempat dalam skuad Sang Penyu musim ini. — Facebook/TFC
Terengganu FC (TFC) dilihat sesuai menjadi destinasi buat pemain kelahiran Kelantan berkenaan selepas skuad Sang Penyu diyakini mampu meningkatkan kualiti pemain dari Harimau Selatan.
Dua penyerang sayap Harimau Selatan iaitu Akhyar Rashid dan Safawi Rasid menjadi pemain utama buat skuad Sang Penyu musim ini apabila gabungan dua tonggak berkenaan membantu menghidupkan jentera hadapan Terengganu.
Prestasi kembali pulih Akhyar dan Safawi itu membuatkan penyokong yakin bahawa kelab Pantai Timur berkenaan boleh menjadi kelab sesuai untuk mengembalikan ketangkasan Syihan Hazmi.
Dengan keadaan Terengganu yang dikhabarkan akan melepaskan khidmat Rahadiazli Rahalim, Syihan Hazmi boleh mengisi slot berkenaan dan bermain secara bergilir dengan Suhaimi Husin dan Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
2) Sri Pahang FC
Izham dipinjamkan selama semusim bersama Sri Pahang pada tahun lalu. — Facebook/SriPahang
Selain Terengganu, Sri Pahang FC boleh menjadi pasukan kedua dipertimbangkan Syihan Hazmi sekiranya mahu mendapatkan lebih banyak minit permainan dan mengembalikan prestasinya.
Masakan tidak, penjaga gol Harimau Selatan iaitu Izham Tarmizi yang sebelum ini dipinjamkan selama semusim bersama Tok Gajah kembali disebut-sebut apabila cemerlang membantu Sri Pahang pada tahun lalu.
Pada masa sama, skuad Tok Gajah juga akan mendapat keuntungan dengan membawa masuk Syihan Hazmi sebagai penjaga gol apabila musim ini menyaksikan Sri Pahang sudah bolos 19 gol setakat 13 perlawanan.
Pemain Harimau Malaya itu sudah diakui kebolehannya, tetapi dengan minit permainan yang lebih, Syihan Hazmi dapat meningkatkan lagi kualitinya sekali gus memberi manfaat buat Sri Pahang dan skuad kebangsaan.
3) Kuching City FC
Syihan Hazmi menyertai JDT pada musim 2023. — Facebook/JDT
Pada jendela perpindahan kedua pada Ogos lepas, Syihan Hazmi dilaporkan dibenarkan untuk menyertai skuad The Cats dengan status pinjaman bagi memberi dia ruang mencari minit permainan.
"Penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi difahamkan bakal dipinjamkan ke Kuching City FC selepas beraksi dengan cemerlang di kempen Piala FA dan Pestabola Merdeka baru-baru ini," memetik laporan Flash Sukan empat bulan lepas.
Bagaimanapun, masing-masing jelas tidak mahu mempercayai khabar angin berkenaan sambil sehingga kini hanya menantikan pengesahan daripada pihak pengurusan JDT dan Kuching City FC sendiri.
Sekiranya perpindahan ke Kuching City akan berlaku, Syihan Hazmi akan menyertai Ramadhan Saifullah dan Danial Amier yang turut menjadi pemain pinjaman JDT ke The Cats pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram