Akui berdepan tugas berat bertemu Selangor, Fandi Ahmad taruh harapan di bahu Kpah Sherman


  • Podium
  • Jumaat, 15 Nov 2024

Kpah Sherman (tengah) memikul tugas berat dalam membantu pasukan memburu jaringan menjelang perlawanan bertemu Gergasi Merah. — Facebook/Sripahangfc

KETUA Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui bahawa mereka berdepan tugas berat untuk mengelak daripada tersingkir awal dalam saingan Unifi Piala Malaysia 2024-2025 selepas diundi menentang Selangor FC pada pusingan 16.

Legenda bola sepak Singapura itu percaya dengan prestasi semasa skuad Gergasi Merah yang kini berada di tempat kedua dalam Liga Super, pemain Tok Gajah perlu bekerja lebih keras sekiranya ingin menumbangkan pasukan yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

"Ini adalah laluan yang sukar untuk Pahang dalam Piala Malaysia kali ini apabila diundi bertemu pasukan elit seperti Selangor, ia memerlukan semua pemain untuk bekerja keras dan bersedia mengekang asakan daripada pihak lawan.

"Pemain perlu memberi yang terbaik, kekal fokus dan yakin dengan kemampuan masing-masing untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Pahang," kata pengendali berusia 62 tahun itu.

BACA LAGI: Kelab bawah MFL boleh teruskan program pemain naturalisasi — Hannah Yeoh

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Selatan ke Utara, tekong berbisa negara hargai keberanian, kepercayaan Perak Bison

WhatsApp Image 2024-11-15 at 11.06.29 (1)

Pertembungan dua pasukan bersejarah dalam kejohanan tertua Asia Tenggara antara Sri Pahang FC bertemu Selangor FC. — Facebook/Sripahangfc

Dengan perubahan format yang dilakukan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim ini, Fandi berharap agar ia akan memberi peluang kepada Pahang untuk mengubah keputusan perlawanan yang memihak kepada pasukannya itu.

"Format perlawanan timbal balik memberi kebaikan kepada kedua-dua pasukan berbanding kalah mati pada pusingan awal.

"Jika kami menang dalam perlawanan pertama, kami masih ada harapan untuk meneruskan momentum itu," tambah Fandi yang menaruh harapan di bahu tonggak sayap, Kpah Sherman untuk mengetuai pemburuan gol berikutan kecederaan yang dialami oleh Stefano Brundo.

Pahang akan menjadi tuan rumah kepada Selangor pada 20 November, manakala perlawanan kedua akan berlangsung pada 29 November.

Selangor merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia dengan 33 kejuaraan, tetapi kemenangan terakhir mereka adalah pada 2015.

Sebaliknya, Pahang telah memenangi Piala Malaysia sebanyak empat kali dengan kejayaan terakhir mereka pada 2014. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram